Berita

Akta Perkongsian Liabiliti Terhad (Pindaan) 2024 dikuat kuasa secara berperingkat bermula hari ini

- Diterbit 1 Februari 2025 4:21 PM MYT

AKTA Perkongsian Liabiliti Terhad (Pindaan) 2024 akan dikuatkuasakan secara berperingkat bermula hari ini.

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dalam kenyataan berkata ianya selaras dengan strategi dan sokongan kepada agenda reformasi dalam memperkukuh tatakelola Kerajaan dan tadbir urus negara termasuk ekosistem sekotor korporat.

“Akta ini mempunyai dua objektif utama iaitu menyokong perkembangan ekonomi dan kesejahteraan negara melalui pengenalan kerangka perundangan Mekanisme Penyelamat Korporat serta mendokong ketelusan dalam tadbir urus korporat melalui kerangka kerja berkaitan pelaporan pemunyaan benefisial di dalam Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012,” katanya.

Tambahnya akta itu dikuatkuasakan melalui tiga fasa dengan fasa pertama bermula hari ini melibatkan peruntukan berkaitan pemunya benefisial melibatkan Seksyen 2, 3, 4, 5, subseksyen 11(a) dan Seksyen 13.

“Dalam fasa ini, Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) diberikan tempoh peralihan selama tiga bulan iaitu dari 1 Februari hingga 30 April 2025 untuk melaksanakan proses mengenal pasti pemunya benefisial di peringkat PLT dan merekodkan maklumat tersebut dalam daftar pemunya benefisial PLT yang disimpan di pejabat berdaftar PLT tersebut.

“Mulai 1 Mei hingga 31 Oktober tahun ini, PLT diwajibkan menyerah simpan maklumat pemunya benefisial kepada suruhanjaya berkenaan dan sepanjang tempoh itu, mereka akan dikecualikan daripada fi lewat serah simpan, fi rektifikasi dan tiada tindakan penguatkuasaan.

“Selepas tamat tempoh itu, fi tersebut akan dikenakan serta tindakan penguatkuasaan bakal diambil, menurut SSM. Fasa kedua akta itu pula dijangka dikuatkuasakan pada 31 Mac ini melibatkan peruntukan berkaitan prosedur bagi menyokong pelaksanaan tadbir urus PLT yang mampan iaitu Seksyen 8, 9, 10 dan subseksyen 11(b),” ujarnya.

Jelasnya, fasa ketiga Akta Perkongsian Liabiliti Terhad (Pindaan) 2024 pula melibatkan peruntukan berkaitan mekanisme penyelamat korporat iaitu Seksyen 6, 7 dan 12 yang dijangka dikuatkuasakan pada 31 Disember 2025.

Akta itu bersama soalan lazim (FAQ) yang menyediakan maklumat terperinci boleh diakses di portal rasmi SSM www.ssm.com.my.

Terdahulu, Rang Undang-Undang Perkongsian Liabiliti Terhad (Pindaan) 2024 telah diluluskan Dewan Rakyat pada 3 Julai tahun lepas dan Dewan Negara pada 31 Julai sebelum menerima Perkenan Diraja pada 9 Oktober dan diwartakan sebagai Akta Perkongsian Liabiliti Terhad (Pindaan) 2024 pada 17 Oktober. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas