Berita

Afdlin Shauki nafi salah laku projek DBKL bernilai RM10 juta

- Diterbit 31 Januari 2025 9:51 AM MYT

PENGARAH dan pelakon terkenal, Datuk Afdlin Shauki, 54, menafikan tuduhan terlibat dalam salah laku perolehan projek naungan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) seperti yang tular dalam media sosial.

Menerusi satu kenyataan yang dikongsikan dalam Instagramnya, Afdlin menyifatkan fitnah itu merupakan tindakan pihak tidak bertanggungjawab untuk memburukkan namanya.

“Pertama sekali saya menafikan sekeras- kerasnya bahawa telah terdapat apa-apa unsur salah laku dalam perolehan projek tersebut.

“Ini merupakan sebuah usaha oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memburukkan nama saya. Agenda pihak ini hanya didorong oleh perasaan hasad dengki dan dendam yang tidak bertempat.

“Saya telah membuat laporan polis bersama pihak PDRM untuk membolehkan siasatan dijalankan berkenaan perkara ini. Saya difahamkan perkara ini juga sedang disiasat secara dalaman oleh DBKL,” tulisnya.

Menurut pengarah filem Harimau Malaya itu lagi, dia berharap Semua pihak memberi ruang kepada pihak berwajib untuk menjalankan siasatan.

“Saya menyeru saudara saudari sekalian untuk memberi ruang kepada pihak-pihak yang berwajib untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Fitnah dan tohmahan berniat jahat ini tidak seharusnya dibiarkan berleluasa. Saya yakin dan pasti dengan izin Allah, akhirnya kebenaran akan tersuluh dan keadilan akan ditegakkan,” tulisnya.

Terdahulu, tular dalam aplikasi Telegram Edisi Siasat yang mendakwa kononnya Afdlin yang merupakan Ahli Lembaga Penasihat DBKL merupakan antara yang terlibat dengan salah laku dalam perolehan projek penerbitan bahan kreatif oleh DBKL yang dikatakan bernilai lebih RM10 juta.

Pendedahan yang telah mendapat perhatian ramai itu menimbulkan persoalan besar mengenai ketelusan dan akauntabiliti dalam takbir urus DBKL.

Sehubungan itu, Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan bebas secara menyeluruh. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas