Selebriti

Boygroup M-pop, Lucky Nerds bawa mesej yakin diri menerusi lagu

- Diterbit 24 Januari 2025 7:36 AM MYT

INDUSTRI muzik Malaysia kini dimeriahkan lagi dengan kemunculan sebuah boygroup M-pop baharu digelar Lucky Nerds.

Sebagai pengenalan, kumpulan ini tampil dengan single pertamanya yang berjudul ‘Lucky Nerds (Anthem)’ iaitu sebuah karya yang membawa mesej tentang keyakinan diri dan memperkenalkan identiti unik mereka sambil membawa nafas baharu dalam industri muzik tanah air.

Lucky Nerds terdiri daripada empat anak muda berbakat, M.O., Faiz, E.J. dan juga Ajim yang berpadu kreativiti mencipta fenomena baharu melalui muzik, tarian dan seni persembahan.

Menurut M.O., selaku ketua kumpulan ini, nama Lucky Nerds bukan sekadar gelaran.

“Kami semenangnya ‘nerds’ dan bukan ulat buku semata-mata, tetapi individu yang mendalami minat dengan penuh dedikasi.

“Sebagai contoh, saya sudah sembilan tahun mencipta muzik. Faiz pula pakar dalam tarian moden kontemporari, Ajim hebat dengan tarian tradisional, manakala EJ mahir dengan muzik rock.

“Setiap daripada kami membawa kekuatan unik ke dalam group ini. Dan ‘lucky’ adalah doa kami agar berjaya dalam industri muzik Malaysia,” jelas M.O..

Penubuhan Lucky Nerds bermula dari usaha M.O. sendiri yang merekrut setiap ahli dengan penuh strategik serta cabaran yang menarik.

Ada yang ragu-ragu pada mulanya. Tak kurang juga ada yang memerlukan pujuk rayu dari keluarga. Namun, akhirnya mereka bersatu sebagai sebuah kumpulan yang lengkap.

‘Lucky Nerds (Anthem)’ adalah sebuah lagu berdefinisi sebagai ‘anthem’ penuh semangat yang memperkenalkan identiti kumpulan ini kepada dunia.

Dihasilkan oleh M.O. sendiri, yang turut bertindak sebagai penulis lirik dan komposernya, lagu ini menggabungkan genre pop, trap dan boombap yang segar.

“Lagu ini menceritakan tentang siapa kami dan bagaimana kami menepis segala kritikan negatif. Sebelum debut lagi sudah ada yang meragui kami.

“Tetapi melalui lagu ini, kami ingin tunjukkan keyakinan diri kami dan juga buktikan kemampuan Lucky Nerds kepada semua,” kata Faiz.

Walaupun single ‘Lucky Nerds (Anthem)’ merupakan permulaan bagi mereka, kumpulan ini tekad membawakan pelbagai genre dalam muzik mereka.

Selain itu, mereka sedang dalam perancangan menghasilkan sebuah mini album yang bakal menggabungkan pelbagai genre seperti R&B, pop, balada dan rock.

Ini adalah manifestasi sebenar identiti muzik mereka yang pelbagai, sesuai dengan minat setiap anggota yang berbeza.

“Kami tidak mahu terikat dengan satu genre sahaja. Setiap daripada kami mempunyai minat yang berbeza-beza.

“Saya meminati hip hop, Faiz pula R&B, Ajim dengan pop dan EJ pastinya rock. Jadi, kami gabungkan semua elemen ke dalam mini album tersebut agar kedengaran unik,” ujar M.O..

 

Hadapi cabaran dengan positif

Walaupun proses pembentukan kumpulan ini berjalan lancar kerana persahabatan erat yang terjalin antara mereka, kumpulan ini tetap berdepan dengan pelbagai cabaran.

Lagu ‘Lucky Nerds (Anthem)’ contohnya telah siap sepenuhnya sejak 2023 lagi, tetapi hanya dapat dilancarkan sekarang.

Antara cabaran lain adalah seperti isu-isu dalaman, perubahan koreografi pada saat akhir sebelum penggambaran muzik video (MV) dan halangan teknikal.

Namun, setiap cabaran dihadapi mereka dengan positif.

“Kami percaya setiap kesukaran pasti ada hikmahnya. Segala halangan ini hanya menguatkan kami lagi sebagai sebuah kumpulan yang dinamik,” kata E.J penuh keyakinan.

Pandangan CEO ACE Talents
Mdm. Azuein Alonto, Ketua Pegawai Eksekutif ACE Talents, juga mengakui Lucky Nerds adalah bukti bahawa bakat tempatan mampu bersaing di pentas industri muzik.

“Setiap ahli kumpulan membawa keunikan dan kepakaran tersendiri. Dari kebolehan mencipta muzik sehingga menguasai pelbagai bahasa.

“Sebagai peneraju ACE Talents, kami melihat potensi besar kumpulan ini dan percaya mereka mampu mencipta impak besar dalam industri muzik tempatan dan mungkin juga antarabangsa.

“Menjadi tanggungjawab kami untuk terus menyokong dan mengembangkan bakat seperti ini, kerana mereka adalah masa depan industri seni tanah air kita,” katanya.

Dalam masa yang sama, sebagai kumpulan lelaki baharu, mereka berharap dapat menghidupkan semula era kegemilangan kumpulan pop dan vokal hip hop di Malaysia seperti KRU dan juga Ruffedge suatu ketika dahulu.

“Kami mahu pendengar mengenali kami bukan hanya dengan satu lagu atau nama group sahaja tetapi melalui karya-karya yang bakal kami lancarkan kelak,” kata Ajim.

Dengan pelancaran mini album yang bakal tiba, dan impian untuk menyertai pentas besar Big Stage, Lucky Nerds optimis bahawa ini hanyalah permulaan bagi perjalanan seni mereka.

Lagu ‘Lucky Nerds (Anthem)’ kini boleh dimuat turun di iTunes dan berada di semua platform penstriman seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan YouTube Music.

Manakala video muzik rasmi single ini pula boleh ditonton secara eksklusif hanya di saluran YouTube ACE Talents. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas