Berita

KPDN perkenal SIM@PAX tawar pengurangan harga kos selenggara kenderaan

- Diterbit 20 Januari 2025 5:49 PM MYT

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan program Servis Ihsan MADANI@ Petronas AutoExpert (SIM@PAX) sekali gus menawarkan pengurangan kos selenggara kenderaan.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata SIM@PAX merupakan baharu di bawah inisiatif Payung RAHMAH MADANI yang merupakan salah satu daripada 14 strategi KPDN dalam membantu rakyat.

“Program ini menyasarkan pemberian manfaat kepada golongan berpendapatan rendah dalam mendepani cabaran kos sara hidup melalui pengurangan kos bagi penyelenggaraan kenderaan.

“Melalui kerjasama antara KPDN dan Petronas, program ini menawarkan pakej penyelenggaraan kereta di bengkel-bengkel PETRONAS AutoExpert sedia ada di seluruh negara dan pengurangan harga minyak pelincir jenis mineral dan semi sintetik pada harga istimewa antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran semasa,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Kata Armizan, SIM@PAX akan dilaksanakan pada setiap musim perayaan utama di Malaysia iaitu Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidiladha, Pesta Kaamatan, Hari Gawai, Deepavali, Hari Krismas, dan Hari Kebangsaan.

“Pelaksanaan pertama SIM@PAX ialah pada sambutan Tahun Baru Cina pada 24 hingga 28 Januari 2025,” katanya.

Menurut Armizan, Hala tuju 2025 KPDN menetapkan pelaksanaan anjakan empat fokus yang diakronimkan sebagai K.P.D.N iaitu (K) Ketangkasan; Penguatkuasaan, (P) Pemacu Ekonomi; Domestik, (D) Daya Upaya Pengguna; dan Advokasi Kepenggunaan dan (N) National Action Council on Cost Of Living (NACCOL) – Pendekatan Whole-of-Nation.

“Demi memastikan empat anjakan fokus ini dapat direalisasi secara strategik, ia juga akan digerakkan melalui empat teras pemacu yakni K.I.T.A; (K) Keterangkuman Kerajaan dan Kecemerlangan Organisasi, (I) Iltizam Industri, T (Tekad Tatakelola) dan (A) Aspirasi dan Partisipasi Awam.

“Empat teras pemacu ini menekankan peranan dan kolaborasi pelbagai pemegang taruh selaras dengan pendekatan whole-of-nation dan whole-of-goverment,” katanya.

Armizan berkata pihaknya akan terus memperkukuh tiga kefungsian utama kementerian iaitu memastikan perdagangan dalam negeri yang mampan dan progresif, mendayaupayakan pengguna melalui advokasi dan kesedaran awam serta menangani isu kos sara hidup melalui perundangan dan penguatkuasaan berkesan.

“Dalam memastikan kefungsian ini terus relevan, bagi tahun 2025 beberapa perubahan dan penambahbaikan gerak kerja kementerian akan dilaksanakan demi memastikan perkhidmatan yang bermutu dan berimpak.

“Ini termasuklah memastikan strategi pelaksanaan seiring dengan perubahan dan cabaran zaman serta memenuhi ekspektasi rakyat,” katanya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas