WARGA di pulau ini diseru mengibarkan bendera Wilayah Persekutuan sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) bagi menyemarakkan semangat cintakan Wilayah Persekutuan serta memperkukuhkan rasa kebersamaan dikalangan warganya.
Menurut Timbalan Pengerusi Perbadanana Labuan Simsudin Sidek, tahun ini merupakan sambutan yang ke-51 Wilayah Persekutuan bagi memperingati pengisytiharan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya sebagai Wilayah Persekutuan.
Katanya, tarikh 1 Februari merupakan simbolik kepada semua Wilayah iaitu sejak Kuala Lumpur secara rasmi menjadi Wilayah Persekutuan pada tahun 1974.
“Bersempena SHWP 2025 dengan membawa tema ‘Wilayah Persekutuan Kita’ program kempen kibar bendera dilaksanakan bagi semangat dan kesedaran kepada penduduk wilayah persekutuan khususnya di Pulau Labuan terhadap bendera wilayah persekutuan yang menjadi simbol kepada penyatuan tiga wilayah iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
“Saya menyeru kepada semua pemilik premis, sama ada bangunan kerajaan mahupun swasta serta kediaman persendirian untuk bersama-sama memasang dan mengibarkan bendera Wilayah Persekutuan di premis masing-masing. Tunjukkan semangat patriotisme anda dengan mengibarkan bendera Wilayah Persekutuan.
“Pelbagai program dan acara rasmi telah disusun oleh pihak Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Perbadanan Labuan sempena SHWP 2025. Antara acara yang akan diadakan adalah seperti program pencahayaan, penanaman pokok, gotong-royong, forum perdana, karnival wilayah, aktiviti berbasikal, kebun komuniti dan sebagainya akan berlangsungsepanjang bulan Februari ini,”katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Kibar Bendera 2025 sempena SHWP 2025 peringkat Labuan di perkarangan Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan, hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Fazilah Mahmud.
Pada majlis sama, Simsudin turut merasmikan program Labuan Car Free Morning, 3km fun walk, Labuan Pearl of Borneo Explorace Challenge dan Program Bersih Semua Tempat (BeST).
Simsudin berkata penganjuran program secara serentak itu adalah dengan mengambil kira elemen C.H.A.S.E City yang merupakan Visi utama Wilayah Persekutuan yang telah diumumkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa pada tahun lalu.
“Peluncuran program Labuan Car Free Morning akan sentiasa diteruskan untuk mempromosikan inisiatif bandar rendah karbon dan bandar hijau untuk meningkatkan kualiti persekitaran serta udara yang bersih di pulau ini.
“Selain itu, program sejauh 3 k’ turut diadakan dan mendapat penyertaan seramai 800 orang peserta sebagai galakan untuk gaya hidup yang lebih sehat. Manakala Program Bersih Setiap Tempat (BeST) juga turut diluncurkan pada hari ini adalah sebagai kempen untuk menjadikan Wilayah Persekutuan sentiasa menjadibandar yang bersih dan sesuai untuk di huni,”katanya. – WILAYAHKU