LEBIH daripada 7,000 pembayar cukai Fasa II telah menggunakan sistem e-Invois manakala Fasa III turut mencatatkan penyertaan awal secara sukarela daripada 4,900 pembayar cukai.
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam kenyataan menjelaskan, trend positif tersebut mencatatkan secara keseluruhan sebanyak 17,000 pembayar cukai (syarikat / perniagaan / organisasi) telah secara aktif menggunakan sistem tersebut dengan melibatkan pengeluaran sekitar 137 juta e-Invois.
“Pelaksanaan e-Invois di Malaysia telah memasuki fasa kedua dan memperlihatkan peningkatan penyertaan yang sangat menyakinkan,” katanya.
Menurut LHDN jumlah tersebut
disokong dengan peningkatan yang berterusan menunjukkan pelaksanaan e-Invois ini semakin difahami dan diterima baik oleh pembayar cukai.
Katanya, pelaksanaan e-Invois secara menyeluruh akan bermula pada 1 Julai 2025 yang melibatkan semua pembayar cukai termasuklah Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
“Pada masa ini, kerajaan telah bersetuju untuk memberi pengecualian pelaksanaan e-Invois kepada perusahaan mikro dan kecil yang mempunyai jualan tahunan di bawah RM150 ribu (RM150,000) yang mana ia melibatkan lebih 700,000 perusahaan mikro dan kecil.
“Kerajaan sangat menggalakkan penglibatan perusahaan mikro dan kecil bagi melaksanakan inisiatif e-Invois secara sukarela selaras dengan aspirasi negara ke arah pendigitalan operasi perniagaan,” katanya.
Tambah LHDN, kerajaan telah menyediakan tempoh peralihan selama enam bulan bagi
memberi kelonggaran kepada pembayar cukai untuk mengeluarkan e-Invois disatukan, iaitu e-Invois yang menggabungkan semua transaksi jualan secara bulanan.
Kata LHDN, sepanjang tempoh peralihan ini juga, penalti tidak akan dikenakan kepada pembayar cukai yang sekurang-kurangnya mengeluarkan e-Invois disatukan.
“Dalam usaha untuk membantu pembayar cukai termasuk PMKS melaksanakan e-Invois ini tanpa melibatkan sebarang kos tambahan, HASiL telah menyediakan Portal MyInvois yang boleh diakses dan digunakan secara percuma bagi proses
penghantaran e-Invois.
“Sebagai maklumat tambahan, aplikasi MyInvois juga telah dibangunkan untuk kemudahan pembayar cukai.
“Kini, pembayar cukai boleh melaksanakan e-Invois menerusi aplikasi MyInvois di telefon pintar masing-masing pada bila-bila masa dan di mana jua,” katanya. – WILAYAHKU