PENGANJURAN Program Rintis Future Health for All (FH4A) akan dilaksanakan di 20 lokasi terpilih di enam buah negeri bermula di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Program Rintis FH4A ini membolehkan rakyat menikmati manfaat teknologi kesihatan.
“Program ini bertujuan mengaplikasikan teknologi terkini dan ketersambungan 5G untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan negara, memastikan akses yang inklusif dan saksama kepada teknologi kesihatan masa hadapan serta menyokong penyediaan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti,” katanya dalam satu kenyataan.
Fahmi berkata, program anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ini turut mendapat kerjasama Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Majlis Amanah Rakyat (MARA), ProtectHealth, Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) dan KPJ Healthcare Berhad.
“Ini mengambil pendekatan progresif dengan mempromosikan teknologi kesihatan masa hadapan melalui program rintis kerana menyedari peningkatan kes penyakit tidak berjangkit (NCD) memberi impak signifikan kepada ekonomi negara.
“Antara pengisian program FH4A ini termasuklah sesi perkongsian masa hadapan penjagaan kesihatan, saringan kesihatan, demonstrasi dan ujian percubaan aplikasi mudah alih secara percuma, pameran produk serta sesi kuiz,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi turut mengharapkan pelaksanaan program ini ke negeri-negeri lain termasuk di kawasan luar bandar dapat memberikan akses perkhidmatan kesihatan berkualiti kepada rakyat tanpa mengira lokasi.
Antara enam negeri terlibat adalah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Perak dan Johor. – WILAYAHKU