Berita

Aaron serah bantuan kepada mangsa kebakaran rumah panjang

- Diterbit 17 Januari 2025 4:47 PM MYT

AHLI Parlimen Kanowit, Datuk Seri Aaron Ago Dagang menyerahkan sumbangan kepada semua keluarga terjejas akibat kebakaran Rumah Panjang Paulus Yan, Sungai Buan, Kanowit pada Rabu lalu.

Menurut Aaron yang juga Menteri Perpaduan Negara, bantuan itu diberikan melalui Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) dan Pejabat Ahli Parlimen Kanowit kepada penduduk terjejas.

“Saya ingin mengucapkan takziah dan rasa simpati saya kepada 88 penghuni Rumah Panjang Paulus Yan, yang kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran tragis tersebut.

“Pejabat saya juga akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan, jabatan kebajikan, serta badan-badan sukarela untuk memastikan proses bantuan berjalan lancar,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Aaron berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) telah membuka pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Datuk Aaron, Bawan, bagi menempatkan mangsa kebakaran yang terdiri daripada 15 keluarga.

Beliau berkata kejadian itu bukan sahaja memusnahkan kediaman mereka tetapi juga menyebabkan para penghuni kehilangan hampir semua harta benda yang mereka miliki.

“Sebagai wakil rakyat bagi kawasan Kanowit, saya amat memahami kesusahan dan cabaran yang sedang dihadapi oleh mangsa kebakaran ini.

“Saya berharap semua mangsa diberi kekuatan, ketabahan, dan sokongan moral daripada ahli keluarga, rakan-rakan, dan masyarakat sekeliling,” katanya.

Menurut Aaron, pejabat beliau komited untuk membantu mangsa kembali bangkit daripada tragedi itu dan memastikan kehidupan mereka dapat dipulihkan secepat mungkin.

“Marilah kita semua bersatu hati dalam memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Semoga mereka yang terjejas diberi rahmat, kekuatan, dan kesabaran untuk menghadapi ujian ini,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas