SIKAP penduduk meletakkan halangan seperti kon‚ tong‚ kayu atau bahan lain sebagai ‘tempahan’ kawasan parkir di kawasan kediaman mereka sudah jadi amalan biasa. Kerana itu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertindak membanteras kegiatan ‘cop parking’ ini.
‘Cop parking’ biasanya dibuat di hadapan unit kediaman penduduk. Halangan diletak di atas jalan laluan awam. Tujuannya sebagai penanda jalan di hadapan rumah itu adalah lot parkir mereka‚ orang lain tidak boleh parkir di situ.
Dengan kata lain‚ mereka menjadikan kawasan luar rumah sebagai milik peribadi‚ untuk memonopoli atau menguasai petak parkir. Muncullah lot parkir ‘jadian’ yang dicipta sendiri. Sepanjang jalan dipenuhi halangan sehingga mencacatkan pemandangan dan mengganggu laluan.
‘Menempah’ parkir haram ini hanya pandai-pandai sendiri. Mungkin parkir dalam kawasan rumah tidak cukup jika mempunyai banyak kereta. Tetapi meletakkan halangan sesuka hati menyalahi undang-undang serta mengganggu kelancaran pergerakan kenderaan lain.
Kawan-kawan Kedai Kopi sokong tindakan agresif DBKL mengekang gejala ini dengan melancarkan pelbagai operasi.