Berita

KPT setuju laksana pelan evakuasi jika perlu

- Diterbit 12 Januari 2025 6:30 PM MYT

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) bersama pejabat Consul General (CG) di Los Angeles, Amerika Syarikat bersetuju untuk memberi bantuan dan akan melaksanakan pelan evakuasi sekiranya perlu kepada pelajar Malaysia terkesan di sana.

Menurut KPT, bantuan dan pelan evakuasi itu akan dilaksanakan melalui penempatan pelajar di rumah pegawai sebagai shelter house.

KPT bagaimanapun berkata pada masa ini tiada arahan evakuasi yang dikeluarkan oleh pihak University of California, Los Angeles (UCLA) kepada para pelajar tersebut.

“Sehingga kini, pelajar yang terkesan adalah seramai 14 orang daripada UCLA kerana berhampiran dengan lokasi kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan

Mengulas lanjut, KPT berkata melalui Kementerian Luar Negeri (KLN) sentiasa mengikuti rapat perkembangan situasi di luar negara terutamanya yang melibatkan penempatan pelajar Malaysia di negara-negara yang sedang bergolak dengan situasi kecemasan seperti rusuhan, peperangan dan bencana alam.

KPT mengambil maklum akan bencana yang menimpa Los Angeles sehingga menyebabkan pengisytiharan State of Emergency oleh Mayor Los Angeles, Karen Bass akibat kejadian Palisades Fire dan Windstorm.

“Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden juga mengumumkan bantuan Fire Management Assistance Grant untuk membantu memulihkan keadaan.

“Kementerian ini menerusi Pejabat Education Malaysia Los Angeles (EMLA) sentiasa memantau perkembangan terkini di Los Angeles dan telah melaksanakan inisiatif pengesanan pelajar.

KPT memaklumkan setakat hari ini, keadaan para pelajar dalam keadaan baik dan pelajar akan terus berada di kediaman masing-masing sehingga arahan terbaharu diterima.

KPT turut memperkenalkan sistem pembangunan data yang telah disediakan melalui sistem MyData@EducationMalaysia4U.

“Pelajar amat digalakkan untuk mengemaskini butiran diri dan pengajian pelajar ke dalam portal rasmi Kementerian ini bagi tujuan capaian maklumat data yang tepat.

“Sekiranya berlaku sebarang insiden, sila berhubung dengan pejabat Education Malaysia Los Angeles di maklumat perhubungan seperti di bawah untuk sebarang maklumat dan tindakan selanjutnya,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas