Berita

Kerajaan laksanakan kempen keselamatan dalam talian di sekolah

- Diterbit 11 Januari 2025 11:00 PM MYT

KERAJAAN akan melaksanakan kempen kesedaran dan keselamatan dalam talian bagi murid-murid serta pelajar di sekolah di seluruh negara yang turut melibatkan guru serta ibu bapa.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ini selepas jenayah penipuan yang menggunakan teknik ‘deepfake’ atau penipuan dalam talian melibatkan penyebaran video dan imej palsu semakin berleluasa termasuk dengan adanya teknologi kecerdasan buatan (AI).

Menurut beliau, sepanjang tahun lalu, terdapat 454 kes penipuan melibatkan jenayah ‘deepfake’ dilaporkan melibatkan kerugian RM2.72 juta.

“Kita akan gerakkan kempen ini bagi meningkatkan pemahaman serta kesedaran ibu bapa, guru dan murid sekolah tentang keselamatan dalam talian bagi mengelak golongan itu terjerumus menjadi mangsa penipuan serta jenayah dalam talian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan perasmian Kampung Angkat MADANI Kementerian Komunikasi di Kampung Orang Asli Kelinsing dekat Sepang, Selangor hari ini.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ahli Dewan Negara (mewakili Orang Asli), Senator Manolan Mohamad.

Fahmi berkata, bagi peringkat sekolah rendah, pihaknya menekankan kepada ‘no social media’ manakala di peringkat sekolah menengah pula difokuskan mengenai penggunaan internet serta media sosial dengan selamat.

“Hal ini untuk mengelak mereka daripada menjadi mangsa scam (penipuan dalam talian) dan jenayah lain yang ada dalam talian,” katanya.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, pihaknya akan mengusahakan agar produk kraf Orang Asli di Kampung Orang Asli Kelinsing dijadikan cenderahati untuk perwakilan ASEAN yang menghadiri mesyuarat di pelbagai peringkat sepanjang tahun ini.

Beliau berkata, peluang untuk mempromosikan produk kraf dan makanan masyarakat itu perlu dimanfaatkan sepanjang tahun ini kerana Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada kira-kira 323 mesyuarat ASEAN di pelbagai peringkat.

Mengenai Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang siap dibina di kampung itu, Fahmi mahu kemudahan itu dimanfaatkan sebaik mungkin dengan menyebarkan maklumat mengenai Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia.

Beliau turut berharap penduduk kampung terbabit memanfaatkan NADI untuk mendapatkan informasi mengenai geran, bantuan daripada kerajaan dan meningkatkan kemahiran keusahawanan e-dagang. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas