KABINET mengambil maklum mengenai arahan terbaru Presiden Joe Biden yang akan mengehadkan akses kepada cip dengan teknologi Amerika Syarikat (AS) seperti dilaporkan media antarabangsa.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, untuk itu Kabinet akan mengadakan perbincangan mengenainya minggu depan bagi mendapatkan maklumat terperinci.
“Bila saya teliti laporan tersebut, ia banyak merujuk kepada syarikat-syarikat seperti Nvidia khusus penggunaan semikonduktor bagi tujuan sektor atau ekonomi libatkan kecerdasan buatan (AI).
“Di Malaysia kita pada waktu ini belum mempunyai kilang penghasilan cip Nvidia. Tetapi sebelum ini dimaklumkan pihak YTL sedang usahakan jadi kita ambil maklum perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan perasmian Kampung Angkat MADANI Kementerian Komunikasi di Kampung Orang Asli Kelinsing dekat Sepang, Selangor hari ini.
Yang turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ahli Dewan Negara (mewakili Orang Asli), Senator Manolan Mohamad.
Beliau mengulas laporan media asing mengenai arahan Biden yang akan mengehadkan akses kepada cip dengan teknologi Amerika Syarikat.
Menurut laporan Bloomberg, arahan yang akan dikeluarkan hari ini meletakkan negara-negara dunia ke dalam tiga kategori utama.
Malaysia dimasukkan ke dalam kategori kedua dengan jumlah kuasa maksimum pusat data akan dihadkan.
Mengulas lanjut Fahmi berkata, pihaknya yakin Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Kementerian Luar Negeri akan meneliti lebih lanjut dan mendapatkan butiran terperinci daripada pihak AS mengenai arahan berkenaan.
“Kita percaya dengan hubungan baik antara Malaysia dan AS, ada beberapa perkara yang akan kita atasi setelah kita mendapatkan maklumat terperinci dan libat urus,” tambahnya.
Terdahulu beliau memberitahu bahawa Kampung Orang Asli Kelinsing dipilih menjadi kampung angkat kementerian sejak tahun lalu dengan beberapa fasiliti dan prasarana ditambah baik melibatkan kos RM4.3 juta.
Katanya, kos itu sebahagian besarnya ditampung pihak kementerian manakala Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyediakan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).
“Harapan saya dengan beberapa prasarana ini, bukan hanya orang kampung di sini dapat manfaat tetapi lebih kurang 15 lagi kampung Orang Asli di Sepang akan dapat manfaatnya.
“Ada kios-kios jualan dan dengan NADI ini, komuniti dapat manfaat pembelajaran tentang sama ada geran bantuan selain kemahiran untuk keusahawanan terutamanya dalam e-dagang,” tambahnya. – WILAYAHKU