Berita

Bencana Los Angeles: Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas

- Diterbit 11 Januari 2025 9:52 PM MYT

PEJABAT Konsulat Malaysia di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) tidak menerima sebarang laporan mengenai rakyat Malaysia yang terjejas dengan bencana kebakaran hutan dekat California itu.

Menurut Wisma Putra, pihak konsulat juga tidak menerima sebarang permohonan bantuan daripada mereka biarpun lebih 100,000 penduduk di kawasan bencana berada di bawah perintah pemindahan.

“Konsul Jeneral dan Pengarah Pendidikan Malaysia telah bertemu dengan beberapa pelajar untuk memastikan keselamatan mereka buat masa ini,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Wisma Putra menambah, pihak konsulat akan terus memantau keadaan dengan teliti dan tetap bersedia untuk memberikan sokongan jika diperlukan.

Keadaan darurat masih berkuat kuasa di bandar dan daerah Los Angeles, dengan semua sekolah di kawasan itu ditutup dan kualiti udara tidak sihat turut menjejaskan kawasan lain.

Presiden Amerika Syarikat Joe Biden meluluskan perisytiharan bencana persekutuan untuk California pada Rabu dan pada Khamis mengumumkan bahawa kerajaan persekutuan akan menanggung semua kos awal tindak balas bencana selama enam bulan akan datang. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas