Berita

DBKL roboh kandang ternakan haiwan di Jalan Ipoh

- Diterbit 11 Januari 2025 9:35 PM MYT

KANDANG ternakan ayam, itik dan kambing yang dibina secara haram di atas rezab jalan awam dirobohkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam operasi bersepadu di Taman Golden, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, semalam.

Menurut DBKL, operasi itu melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tenaga Nasional Berhad )TNB), Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam serta Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora).

“Hasil daripada operasi bersepadu yang dijalankan, sebuah struktur kandang ternakan haiwan (ayam, itik dan kambing) yang dibina tanpa kelulusan telah dikenakan tindakan roboh di atas kesalahan membina struktur tambahan hingga menutup longkang awam, jalan dan laluan awam.

“Kesalahan dilakukan di bawah Seksyen 46, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974,” katanya dalam kenyataan.

DBKL menambah, kesemua sisa struktur yang dirobohkan itu telah dilupuskan oleh DBKL selepas tamat operasi yang dijalankan dan haiwan ternakan dipindahkan ke Unit Vektor Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar (JKAS) DBKL bagi tujuan rekod dan dokumentasi selanjutnya.

Katanya, DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa.

Jelas pihak berkuasa tempatan itu, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat di pautan https://adukl.dbkl.gov.my/. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas