Berita

Perdana Menteri zahir ucapan takziah kepada mangsa kebakaran Los Angeles

Foto: AP
- Diterbit 10 Januari 2025 8:09 PM MYT

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada penduduk Los Angeles, California Selatan, Amerika Syarikat yang terjejas akibat kebakaran hutan.

Anwar menerusi hantaran di akaun Facebooknya, menyifatkan tragedi yang meragut banyak nyawa dengan lebih 1,000 struktur bangunan musnah sebagai tragedi yang cukup menyentuh hati semua.

“Takziah kepada semua yang terjejas dalam kebakaran hutan yang memusnahkan seluruh California Selatan.

“Malaysia menyatakan solidariti bersama rakyat dan kerajaan Amerika Syarikat pada waktu sukar ini.

“Ingatan kami juga buat pihak berkuasa dan perkhidmatan kecemasan yang menjadi wira memerangi api,” kata Anwar dalam hantaran itu.

Kebakaran yang bermula pada Rabu itu telah meragut hampir 10 nyawa serta menyebabkan ribuan rumah, perniagaan dan struktur lain terbakar.

Ribut taufan membawa angin kencang mendorong kebakaran lebih marak di kawasan perumahan mewah Pacific Palisades memusnahkan sebahagian besar hartanah California yang menjadi idaman dan digemari selebriti Hollywood.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas