Berita

SRVM Plus mudahkan usaha jaga alam, galak budaya kitar semula

PROJEK SRVM Plus diletakkan di Kompleks PPj bagi kegunaan orang ramai
- Diterbit 7 Januari 2025 6:00 PM MYT

DALAM usaha memastikan kebersihan alam sekitar sentiasa bersih dan terjamin, pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) memperkenalkan Smart Reverse Vending Machine (SRVM) Plus bagi membantu masyarakat di pusat pentadbiran kerajaan itu mengamalkan budaya kitar semula.

Menurut Pengarah Bahagian Kesihatan Persekitaran, Jabatan Perkhidmatan Bandar PPj, Dr Mohd Helmi Abdul Hamid, SRVM Plus merupakan satu daripada teknologi hijau baharu yang diperkenalkan di Putrajaya.

“Objektif utama pengenalan mesin layan diri ini adalah untuk mengurangkan pembuangan botol plastik dan tin aluminium, menjana kitaran ekonomi melalui aktiviti kitar semula dan menyediakan persekitaran yang bersih dan kondusif terutamanya di kawasan tumpuan pelancong.

“Matlamat jangka panjang pula adalah untuk mewujudkan infrastruktur kitar semula yang kukuh dan mudah diserap dalam kehidupan harian sekali gus membina ekonomi kitaran yang lestari di seluruh Malaysia,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata mesin berkenaan merupakan mesin layan diri pertama yang diwujudkan di Putrajaya.

“Buat masa ini satu unit telah ditempatkan di Kompleks Perbadanan Putrajaya dan akan diperluaskan di beberapa lokasi terpilih.

“SRVM Plus merancang untuk memasang 50 mesin di Putrajaya dan Cyberjaya melalui kerjasama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan PPj.

“Pengembangan lanjut akan dilakukan ke kawasan awam seperti pusat membeli-belah, hospital dan dewan komuniti,” katanya.

Selain itu, Helmi berkata, SRVM Plus sedang bekerjasama dengan pemilik jenama untuk memastikan botol PET yang dikitar semula digunakan dalam produk baharu.

“Kerjasama ini akan menggalakkan syarikat melabur dalam pembungkusan yang lebih lestari dan menyumbang kepada proses pengumpulan dan kitar semula.

“Sebagai permulaan, mesin layan diri ini akan ditempatkan di Kompleks PPj dan pengguna yang menggunakan mesin tersebut akan mendapat mata (point) yang boleh ditukarkan kepada nilai wang ringgit serta air mineral secara percuma.

“Setiap botol plastik atau tin aluminium yang dikitar semula akan dibayar secara kredit ke dalam akaun aplikasi SRVM dengan kadar maksimum sebanyak RM0.05 bagi setiap unit.

“Pengguna hanya perlu mengimbas kod QR daripada aplikasi yang dimuat turun dalam telefon pintar masing-masing dan memasukkan barang kitar semula untuk mendapatkan bayaran,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, PPj juga akan memperkenalkan teknologi itu dengan lebih meluas di kawasan lain.

“Saya yakin bahawa usaha PPj itu akan menjadikan Putrajaya sebagai bandar rendah karbon sekali gus menggalakkan rakyat membudayakan amalan kitar semula.

“Orang ramai yang ingin merasai pengalaman menggunakan mesin kitar semula pintar dan bersih tersebut boleh hadir ke Kompleks Perbadanan Putrajaya untuk mencuba mesin SRVM berkenaan.

“Jom kumpul mata ganjaran melalui program ini dan tebus air minuman secara percuma. Muat turun aplikasi SRVM Plus sekarang bagi menyokong usaha kitar semula di Putrajaya,” katanya. – WILAYAHKU

[Iklan]

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas