Berita

Blueprint Penarafan Kebersihan tranfomasi bandar KL

- Diterbit 6 Januari 2025 10:43 AM MYT

BLUEPRINT Penarafan Kebersihan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merupakan program bagi mentransformasikan Bandaraya Kuala Lumpur sebagai sebuah bandaraya bersih, indah serta selesa untuk didiami oleh warga kota dan pengunjung.

Menurut Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata program blueprint bagi tahun 2024 di Parlimen Bandar Tun Razak dilaksanakan di Pekan Sungai Besi.

Beliau berkata program dimulakan dengan dengan sesi menandatangani Memorandum Persefahaman oleh Pejabat Cawangan Bandar Tun Razak dan DBKL.

Menurutnya, program tersebut juga hasil bekerjasama dengan rakan-rakan strategik seperti Pejabat Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Majlis Perwakilan Penduduk Sub Zon 5, Polis Diraja Malaysia Sungai Besi, Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Rakan strategik lain yang turut serta seperti Masjid Ibnu Khaldun, Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan Klinik Allevia dan Kader Food Corner.

“Program ini menyenaraikan sejumlah rakan strategik bagi menjadikan platform kerjasama di antara Pejabat Ahli Parlimen, DBKL dan agensi setempat dalam melaksanakan program kemasyarakatan dan modal insan.

“Usaha-usaha yang dilaksanakan melibatkan pengindahan kawasan, naiktaraf infrastruktur, penggantian perabut jalan, lanskap keindahan kawasan, pemeriksaan premis-premis kedai, turapan jalan dan lain-lain.

“Ini dapat dilaksanakan secara bersama bagi meningkatkan semangat kekitaan dan memupuk sifat tanggungjawab di dalam menjaga kawasan ini sebaiknya,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Azizah berkata bagi
menggalakkan inisiatif low carbon, lampu solar akan dipasang di beberapa bas stop di sekitar Pekan Sungai Besi untuk membantu kawalan keselamatan penduduk.

Katanya, inisiatif ini juga diharapkan dapat diteruskan di semua kawasan-kawasan lain sekitar Bandar Tun Razak ini.

“Dalam menyokong Kerajaan Madani yang antaranya menekankan naik taraf pusat penjaja, aktiviti cat mural di dinding Pasar Sungai Besi dan atas siar kaki telah dilaksanakan oleh Syarikat E & M Services.

“Rumah sampah juga telah dinaiktaraf dengan lebih baik bagi memastikan sampah-sampah diurus dengan lebih berkesan,” katanya.

Menurut Wan Azizah, penarafan kebersihan di Pekan Sungai Besi ini telah menyenaraikan 24 isu yang perlu diselesaikan, antaranya kualiti pembersihan jalan dan longkang.

Selian itu, katanya penyelenggaraan pokok dan lanskap, iklan dan papan tanda haram,pelepasan sisa makanan yang tidak sistematik, kedudukan penjaja di atas siar kaki dan pokok liar.

Beliau berkata selain itu, pengurusan sisa buangan dan pembersihan di pasar semasa dan selepas operasi, monopoli tempat letak kereta awam dan premis perniagaan yang tiada kelulusan pembangunan daripada PBT.

Menurut Wan Azizah bagi meningkatkan dan menyokong aktiviti kitar semula, sejumlah tong kitar semula telah ditambah baik di wakaf dan gondola untuk tujuan pengasingan sampah yang boleh dikitar semula.

Beliau berkata setelah setahun kerja keras dilaksanakan, pada 7 Januari nanti sesi penilaian akan dilaksanakan oleh barisan panel daripada Ketua Panel DBKL, Jabatan Wilayah Persekutuan, Jabatan Pengurusan Sisa Pejal Negara, SWCorp dan Arkitek Lanskap DBKL.

“Tahniah atas usaha semua dan semoga Berjaya mendapat Penarafan A semasa sesi penilaian nanti,” katanya. – WILAYAHKU

[Iklan]

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas