PASANGAN selebriti popular, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal bakal menunaikan ibadah haji buat kali pertama tahun ini.
Aeril atau nama sebenarnya Suhairil Sunari, 36, berharap impian menunaikan ibadah haji pada Jun depan dipermudahkan.
Walaupun pernah mengerjakan umrah, Aeril mengaku persiapan ibadah haji memerlukan persediaan fizikal, mental, dan rohani yang lebih mendalam.
“Jika diizinkan Allah kami memang berniat nak buat ibadah haji tahun 2025.
“Doakan urusan kami dipermudahkan sebab persiapan kali ini perlu dibuat dengan lebih awal dan teliti. Kadang-kadang kalau ada banyak duit tapi Allah tak izinkan, ia tidak akan jadi juga,” katanya.
Aeril berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis Wawa Glamorous Night yang diadakan di Palm Garden Golf Club, Putrajaya baru-baru ini.
Menyentuh mengenai isu pembayaran zakat perniagaan RM1 juta kepada Lembaga Zakat Selangor tahun lalu, Aeril menegaskan, mereka tidak berniat untuk bersikap riak atau menunjuk-nunjuk jumlah yang disalurkan kepada golongan memerlukan.
“Membayar zakat adalah tanggungjawab setiap muslim. Kami tiada niat nak menunjuk jumlah zakat yang kami bayar tetapi kami ingin mengajak peniaga-peniaga Islam seluruh Malaysia supaya menunaikan tanggungjawab mereka.
“Sebenarnya lembaga zakat sendiri yang meminta kami war-warkan kepada masyarakat. Sebab itulah pihak mereka datang ke pejabat untuk bergambar dan memberikan cenderahati kepada syarikat kami.
“Bagi saya setiap niat yang dilakukan bergantung kepada diri masing-masing. Cuma saya tidak langsung terfikir nak bersikap riak atau ingin menunjuk-nunjuk jumlah duit zakat yang disalurkan,” katanya.
Bagi Aeril dan Wawa, pembayaran zakat bukan sahaja satu kewajipan tetapi juga peluang untuk memberi manfaat kepada masyarakat.
“Sebagai usahawan, saya ada ramai kakitangan dan penjual semula produk yang begitu terinspirasikan dengan apa yang kami lakukan ini,” katanya.
Sementara itu, Wawa, 33, memberitahu dia bersyukur syarikat kosmetik diusahakan iaitu Wawa Cosmetics masih mampu mengekalkan jualan lebih RM30 juta sama seperti tahun sebelumnya.
Wawa juga optimis meletakkan jualan sebanyak RM50 juta sebagai sasaran syarikatnya bagi tahun 2025.
Ditanya apakah resipi kejayaan mereka apabila syarikat diusahakan sejak lima tahun lalu terus konsisten dan meraih jualan tinggi, Aeril berkata, menjaga hubungan antara satu sama lain adalah kunci rezeki mereka tidak putus.
“Saya ambil contoh kalau kami tak sehaluan, sudah tentu ia akan mengganggu kami punya jualan, tapi kami selalu ingatkan diri kalau ada perselisihan faham rezeki susah nak masuk
“Jadi kalau nak rezeki sentiasa murah, kami perlu sentiasa berada dalam keadaan baik. Lagipun kami mempunyai banyak tanggungjawab terutama untuk kakitangan serta keluarga masing-masing.
“Banyak yang bergantung harap dengan kami. Jadi kami tak boleh pentingkan diri sebaliknya perlu sentiasa berganding bahu untuk meneruskan perniagaan ini bersama-sama,” katanya. – WILAYAHKU