Berita

JAWI selesai siasat isu zikir pelik di TPI Setapak

- Diterbit 3 Januari 2025 11:52 PM MYT

JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengesahkan telah selesai menjalankan siasatan berhubung isu zikir oleh sekumpulan individu di Tanah Perkuburan Islam (TPI) Taman Ibu kota, Setapak di sini pada 28 Disember tahun lalu.

Pengarah JAWI, Hanifuddin Roslan berkata, pihaknya telah mengambil keterangan pengadu dan menemu bual waris Allahyarham serta pelaku yang terlibat.

“JAWI juga telah memanjangkan isu ini kepada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan untuk mendapatkan pandangan dari aspek hukum syarak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya pihak JAWI akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Pihak JAWI menasihati masyarakat Islam khususnya supaya tidak melakukan amalan-amalan yang boleh mengundang kontroversi dalam masyarakat,” ujarnya.

Terdahulu, pada 28 Disember 2024, tular satu video berdurasi 23 saat memaparkan sekumpulan individu berzikir secara pelik dan kuat di TPI terbabit hingga mengundang kebimbangan masyarakat khususnya orang Islam. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas