Berita

Rezza Shah nafi kekal OIAM sebab rupa kacak.. ‘Saya menyanyi dari umur 8 tahun’

- Diterbit 3 Januari 2025 4:05 PM MYT

PERSEMBAHAN daripada salah seorang peserta Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) iaitu Rezza Shah pada konsert minggu kedua CSOIAM baru-baru ini menerima pelbagai reaksi daripada penonton dan warganet.

Menjengah ke ruangan komen pada video yang dikongsikan di Instagram rasmi Calpis Soda One In A Million (CSOIAM), terdapat segelintir warganet berpendapat bahawa Rezza dikekalkan dalam program realiti tersebut memiliki paras rupa yang kacak.

“Setiap orang mempunyai pendapat masing-masing. Saya tak boleh nak kata ini salah, itu betul sebab pendapat atau komen adalah subjektif.

“Sebenarnya jika hanya bersandarkan rupa tapi tiada bakat untuk menyanyi, saya tak mungkin kekal dalam industri nyanyian ini.

“Iyalah, saya menyanyi sejak dari umur 8 tahun lagi. Saya masuk pertandingan dari kecil. Ada yang menang juara dan naib juara serta dinilai oleh juri-juri profesional seperti Datuk Syafinaz,” katanya.

Menurut Rezza lagi, apabila membuat persembahan di pentas CSOIAM, setiap juri mempunyai penilaian tersendiri dan apa yang dinilai bukanlah vokal semata-mata.

“Apabila bertanding, kriteria yang dinilai oleh juri bukan hanya menyanyi di atas pentas sahaja, ia termasuklah keseluruhan persembahan.

“Tidak semestinya suara tinggi itu adalah sedap, manusia mempunyai ton dan ‘range’ yang berbeza-beza.

” Jadi saya sangkal sama sekali masih kekal di OIAM hanya kerana rupa paras semata-mata. Terdapat banyak faktor lain,” ujarnya.

Terdahulu, Rezza yang mempersembahkan lagu Tiara nyanyian daripada kumpulan Kris menerima komen positif daripada juri jemputan iaitu penyanyi, Yuna atau nama lengkapnya Yunalis Mat Zara’ai.

” Awak kata awak tak sihat? tapi saya rasa suara awak sangat sempurna. Tone suara awak sangat bagus, saya rasa cukup dah awak menyanyi dengan penuh perasaan.

” Saya dapat rasakan persembahan kali ini awak cuba lakukan lebih dari segi perasaan, emosi. Awak memang ada bakat, ada pakej termasuk rupa dan boleh menyanyi,” komennya.

Sebelum ini, juri tetap Ziana, Yusry dan Cakra percaya bahawa Rezza mempunyai bakat yang luar biasa selain memiliki suara yang unik dan boleh digilap menjadi seorang penyanyi hebat.

CSOIAM ini dihoskan oleh Fiza Frizzy dan Haniff Hamzah serta menampilkan juri tetap Ziana Zain, Yusry Abdul Halim dan Cakra Khan.

CSOIAM berlangsung pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam hanya di TV3. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas