PENYANYI Hafiz Suip akhirnya membuka mulut dan mengesahkan sedang dalam proses perceraian dengan isterinya, Nureffy Jasreel Abdullah.
Menerusi temuramah dalam rancangan hiburan popular Melodi (TV3) yang disiarkan pada malam tadi, Hafiz atau nama sebenarnya Mohamad Hafiz Mohamad Suip, 35, berkata, dia bersedia untuk melepaskan isterinya itu jika mereka sudah tiada persefahaman.
“Saya cuma nak selesaikan dengan cara yang baik tanpa ada gangguan daripada pihak-pihak yang lain. Cukup saya simpan sendiri perkara ini.
“Kalau dah memang kami sudah tiada persefahaman, saya akan lepaskan dengan cara baik.
“Saya tak mahu rumitkan keadaan, biarlah semuanya selesai cara baik, jangan anak-anak pula jadi mangsa keadaan,” katanya.
Menurut Hafiz lagi, buat masa ini mereka tidak lagi tinggal sebumbung dan sedang berunding tentang hak penjagaan anak-anak.
Hafiz mendirikan rumah tangga bersama Nureffy pada 14 Mei 2016.
Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Muhammad Riyadh Zafri, 8, dan Muhammad Alkaf Zayne, 5 tahun. – WILAYAHKU
[Iklan]