Artikel

Belanjawan utamakan penduduk KL

- Diterbit 31 Disember 2024 11:47 AM MYT

MENINGKATKAN kualiti hidup rakyat‚ memberi perkhidmatan terbaik berterusan kepada warga kota adalah antara intipati menarik Belanjawan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 2025 yang dibentangkan oleh Datuk Bandar‚ Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif‚ pada 20 Disember lalu.

Selain itu‚ fokus belanjawan berjumah RM2.84 bilion ini ialah menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya selesa untuk didiami serta memastikan tiada manamana pihak ketinggalan dalam aspek pembangunan dan kesejahteraan ibu kota.

Kawan-kawan Kedai Kopi menyambut baik teras belanjawan yang bertemakan Kuala Lumpur Lestari‚ Warga Kota Sejahtera ini. Sasarannya serampang dua mata‚ kesejahteraan ibu kota dan kemakmuran penduduk.

Kawan-kawan Kedai Kopi kagum kerana DBKL akan berusaha memastikan belanjawan seimbang dicapai pada 2026.

Belanjawan dirangka bukan sekadar pelan kewangan tetapi juga sebagai pelan transformasi. Ini terserlah melalui unjuran hasil serta menekankan transformasi bandar raya dan warga kota.

DBKL menyediakan peruntukan berdasar bidang keutamaan‚ berteraskan Program Perdana DBKL. Terangkum di dalamnya antaranya ialah Program Mitigasi Banjir‚ Program Pengurusan Lalu Lintas dan Keselamatan‚ Program Rendah Karbon‚ Lestari Niaga dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

[Iklan]

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas