Berita

JAWI diarah siasat sekumpulan pihak lakukan zikir mencurigakan di tanah perkuburan

- Diterbit 29 Disember 2024 3:20 PM MYT

JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah diarah untuk melakukan siasatan terhadap sekumpulan pihak tertentu yang berhimpun di salah sebuah pusara dalam kawasan Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Ibukota, Setapak, Kuala Lumpur.

Ini selepas video mengenai individu berkenaan yang didakwa melakukan zikir mencurigakan tular di media sosial.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai video berkenaan.

“Untuk itu kita telah mengarahkan JAWI membuat siasatan terperinci susulan kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, pihak yang mempunyai maklumat adalah dialu-alukan untuk menyalurkan maklumat berkaitan kepada JAWI bagi membantu siasatan.

Katanya, semua pihak dinasihatkan agar tidak membuat apa-apa spekulasi mengenai kejadian tersebut.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tidak akan berkompromi dengan mana-mana perlakuan dan amalan yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam.

“Semua pihak juga dimohon untuk menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa agama Islam,” tegasnya.

Terdahulu polis mengesahkan sudah menerima satu laporan polis berhubung perkara berkenaan semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, laporan polis itu dibuat 10.05 pagi semalam oleh orang awam.

Tular satu video berdurasi 23 saat memaparkan sekumpulan individu berzikir secara pelik dan kuat di sebuah tanah perkuburan di Danau Kota, Setapak. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas