PERTUBUHAN Kebajikan Masyarakat Malaysia (PKMM) mengesa pihak berkuasa dan platform media sosial mengambil tindakan tegas bagi menangani penyebaran bahan lucah yang kian berleluasa.
Timbalan Pengerusi (PKMM), Shandrsegar Periasamy Gnana Sambathar, berkata masalah ini semakin membimbangkan kerana golongan muda lebih terdedah kepada penggunaan media sosial.
Tegasnya, bahan lucah dan iklan yang memaparkan aktiviti seksual kini bukan sahaja sukar disekat, tetapi kerap muncul tanpa amaran.
“Media sosial kini digunakan oleh pelbagai lapisan masyarakat, termasuk kanak-kanak.
“Dengan kemunculan iklan dan video yang tidak senonoh ini, kita bimbang kesan buruk yang akan ditanggung oleh generasi muda,” katanya.

Shandrsegar juga berkata, pihaknya turut memberi peringatan kepada ibu bapa agar lebih berhati-hati dan sentiasa memantau aktiviti anak-anak mereka ketika menggunakan media sosial.
Menurutnya, platform seperti TikTok dan Facebook seringkali digunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk menyebarkan iklan yang tidak sesuai hingga boleh menjejaskan kesihatan mental serta moral kanak-kanak yang terdedah kepada kandungan terbabit.
“Bahan lucah dan iklan yang tidak sesuai sangat merbahaya untuk perkembangan mental kanak-kanak.
“Kita tidak boleh membiarkan hal ini berlarutan tanpa tindakan yang jelas,” katanya.
PKMM katanya turut memohon pihak berkuasa dan platform media sosial untuk mengambil tindakan lebih serius dalam menangani isu ini.
“Kami berharap pihak berkuasa dapat memperketatkan undang-undang dan menyediakan saluran mudah untuk orang ramai melaporkan perkara-perkara seperti ini.
“Pengguna, terutamanya ibu bapa perlu diberi panduan langkah-m yang boleh diambil untuk melindungi anak-anak mereka daripada terdedah kepada kandungan tidak sihat,” tambahnya.
Bagi menangani isu ini dengan lebih berkesan, PKMM mencadangkan agar lebih banyak kempen pendidikan dilaksanakan untuk meningkatkan kesedaran tentang bahaya kandungan negatif di media sosial.
Selain itu, mereka juga menyeru agar platform digital melakukan lebih banyak usaha untuk memantau iklan yang disiarkan serta memastikan iklan yang tular tidak melanggar etika serta norma sosial yang diterima masyarakat.
Terdahulu, media melaporkan polis dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melakukan tangkapan ke atas individu yang disyaki memiliki dan mengedar Bahan Penderaan Seksual Kanak-Kanak (CSAM).
Menerusi ‘Op Pedo Bersepadu PDRM-MCMC’ yang diketuai Bahagian Siasatan Seksual, Wanita, dan Kanak-Kanak Bukit Aman (D11) ia membabitkan siri serbuan secara terselaras di enam negeri, iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Terengganu, Pulau Pinang dan Perak. -WILAYAHKU