Berita

Thaksin boleh main peranan tingkatkan usaha damai, ekonomi ASEAN – PM Anwar

- Diterbit 27 Disember 2024 5:02 PM MYT

BEKAS Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra mempunyai jaringan yang meluas di rantau ini sekali gus mampu meningkatkan usaha beberapa perkara termasuk pembangunan ekonomi ASEAN.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kepakaran yang dimiliki bekas Perdana Menteri Thailand itu dapat membuka peluang penting bagi Malaysia dan ASEAN berdepan dengan cabaran.

“Kepakaran dan jaringan perhubungan meluas yang dimiliki di rantau ini, membolehkan beliau memainkan peranan dan membuka peluang-peluang penting buat Malaysia dan ASEAN bagi berdepan cabaran-cabaran ini dengan penuh yakin dan berkesan,” katanya dalam hantaran di facebook hari ini.

Anwar berkata pertemuan dengan Thaksin semalam turut mengadakan perbincangan panjang lebar terkait beberapa perkara penting, termasuk peranan beliau selaku penasihat tidak rasmi kepada Pengerusi ASEAN.

“Perbincangan kami seputar beberapa isu kritikal serantau, merangkumi usaha melonjak ekonomi, perkembangan teknologi baharu, merintis usaha damai di Selatan Thailand dan merungkai krisis di Myanmar,” katanya.

Kata Perdana Menteri, beliau dan Thaksin turut bertukar pandangan terkait usaha memperkukuh hubungan persahabatan Malaysia-Thailand dan selaras visi dan persefahaman seperti mana yang saya kongsikan bersama-sama PM Paetongtarn Shinawatra.

“Kami berkongsi kepercayaan yang sama sejak puluhan tahun lalu, bahawa Malaysia dan Thailand berupaya mencipta pelbagai kejayaan bersama untuk kedua-dua negara dan rantau ini. Insya-Allah, saya dan Thaksin komited untuk merealisasikan hasrat ini,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan pelantikan Thaksin sebagai Penasihat Pengerusi ASEAN pada sidang media bersama Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra semasa lawatan rasmi ke Malaysia pada 16 Disember lalu.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas