Berita

KPKT peruntuk RM168.7 juta bagi projek pembangunan di kawasan Parlimen Perdana Menteri

- Diterbit 27 Disember 2024 4:58 PM MYT

SEBANYAK 107 projek melibatkan peruntukan RM168.7 juta telah dilaksanakan di kawasan Parlimen Tambun di bawah peruntukan projek-projek pembangunan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi tahun 2024.

KPKT dalam kenyataan berkata, Parlimen Tambun telah menerima 55 projek di bawah Jabatan Kerajaan Tempatan bernilai RM17.02 juta.

“Dalam bidang perumahan, KPKT tetap komited untuk menyediakan rumah mampu
milik bagi rakyat Tambun dengan peruntukan RM149.21 juta untuk Program
Residensi Rakyat (PRR) Tambun dan RM567,948.50 bagi tujuh projek Rumah
Mesra Rakyat (RMR) di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

“Bagi Parlimen Tambun juga, KPKT melalui Bahagian Kesejahteraan Komuniti dan
Bahagian Kampung Baru Cina telah melaksanakan 34 projek baik pulih dan
pembinaan baharu rumah dengan kos sebanyak RM734,640.00.

“Selain itu, KPKT turut menaik taraf infrastruktur awam di kawasan Kampung Baru Cina dengan peruntukan sebanyak RM1.71 juta yang merangkumi 10 projek mengenai kerja-kerja menurap semula jalan dan menaik taraf taman rekreasi,” ujarnya.

Tambahnya KPKT memberikan fokus dan tumpuan dalam meningkatkan kualiti
hidup rakyat.

“Kejayaan KPKT merangkul Anugerah Pembangunan Negara 2024
membuktikan komitmen tinggi KPKT dalam memastikan projek-projek
pembangunan yang dirancang dapat disiapkan dan memberi manfaat kepada
golongan yang layak. Semua golongan akan mendapat manfaat sepenuhnya. Tiada
golongan rakyat yang akan dipinggirkan.

“Kerajaan MADANI melalui KPKT komited untuk terus mengekalkan kecemerlangan
dan melaksanakan projek-projek pembangunan berimpak tinggi demi kecemerlangan
negara dan kesejahteraan rakyat. Kejayaan besar yang diraih pada tahun 2024 ini akan menjadi pemangkin semangat kepada seluruh warga KPKT untuk memberikan perkhidmatan terbaik di tahun 2025. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas