Berita

Tarif Elektrik Hijau dikekalkan tahun 2025

- Diterbit 26 Disember 2024 3:00 PM MYT

KEMENTERIAN Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memaklumkan bahawa Program Tarif Elektrik Hijau atau Green Electric Tarif akan diteruskan pada tahun 2025 dan mengekalkan kadar permium yang sama.

PETRA berkata kuota sekurang-kurangnya 6,600 Gigawatt jam (GWj) ditawarkan dengan kadar premium 10 sen per kilowatt jam (sen/kWj) untuk pengguna voltan rendah manakala 20 sen/kWj bagi pengguna voltan sederhana dan tinggi.

“Selain itu, beberapa penambahbaikan turut diperkenalkan mulai tahun 2025 termasuk pembukaan langganan jangka masa panjang bagi membolehkan pengguna membuat langganan GET sehingga tahun 2027.

“Penawaran baharu ini akan memberikan kepastian (certainty) dalam perancangan langganan bekalan elektrik hijau oleh syarikat korporat dan industri,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut PETRA berkata langkah untuk mengekalkan program berkenaan di buat berikutan sambutan yang menggalakkan dan pengiktirafan antarabangsa yang diterima.

“PETRA akan bersama Suruhanjaya Tenaga (ST) meneliti semula pengoperasian serta prinsip asas langganan bagi mengekalkan keyakinan pengguna ke atas program GET,” katanya.

Jelas PETRA, selaras tuntutan umum komitmen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), kerajaan memutuskan supaya pengguna yang melanggan program tersebut pada tahun depan tidak akan dikenakan caj Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT).

Tegas PETRA, langkah itu penting bagi memberikan gambaran sebenar bahawa tenaga elektrik hijau adalah tidak terdedah kepada pergerakan harga bahan api.

“Langganan boleh dilakukan mulai 1 Mac 2025 melalui portal myTNB dan pengguna boleh melakukan ‘backdate subscription’ untuk tempoh bermula 1 Januari 2025.

“Bergantung kepada tempoh langganan, ‘lock in period’ langganan GET adalah sehingga 31 Disember. Pembaharuan langganan GET adalah secara automatik berdasarkan tempoh langganan asal selepas ‘lock in period’ tamat, sekiranya tiada pemberhentian langganan dilakukan oleh pengguna,” katanya.

Tambah PETRA, opsyen baharu tawaran GET secara jangka panjang sehingga tahun 2027 turut disediakan dengan kadar premium yang lebih rendah bagi tempoh dua dan tiga tahun untuk pengguna voltan rendah menikmati kadar premium masing-masing 9 sen/kWj dan 8 sen/kWj.

“Manakala bagi pengguna voltan sederhana dan tinggi, kadar premium pula adalah 19 sen/kWj untuk tempoh dua tahun dan 18 sen/kWj bagi tempoh tiga tahun,” katanya.

PETRA menyatakan, opsyen penamatan awal tempoh ‘locked-in’ pengguna GET disediakan bagi langganan tahunan dan langganan jangka masa panjang dengan kos penamatan sebanyak 2 sen/kWj akan dikenakan terhadap baki langganan GET yang tidak dihabiskan.

“Pendapatan daripada pelaksanaan program ini akan digunakan untuk menyokong usaha peralihan tenaga negara terutamanya dalam meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) seperti pelaksanaan Skim Insentif Solar Rakyat (SolaRIS),” katanya.

Program GET diperkenalkan pada tahun 2021 iaitu antara inisiatif kerajaan dalam menawarkan bekalan elektrik yang dijana daripada sumber TBB kepada pengguna elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang berhasrat untuk mengurangkan jejak karbon danm erincian mengenai program GET boleh didapati di laman sesawang TNB.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas