Berita

PTPTN lancar kempen LESTARIPendidikan

- Diterbit 23 Disember 2024 5:34 PM MYT

PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini melancarkan kempen LESTARIPendidikan yang merupakan satu inisiatif strategik untuk memastikan pendidikan tinggi kekal inklusif, mampan dan relevan bagi generasi akan datang.

Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata kempen itu bertujuan memperkukuhkan mesej penting tentang tanggungjawab sosial dan kewangan peminjam dalam menjamin kelestarian dana pendidikan negara.

“Kempen ini mencerminkan komitmen PTPTN untuk menyokong visi kerajaan,
termasuk konsep Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan, keadilan sosial dan
kemampanan.

“Selari dengan Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Dasar Pendidikan Tinggi Negara, PTPTN terus berusaha memastikan setiap individu tanpa mengira latar belakang, mendapat peluang melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi tanpa beban kewangan,” katanya.

Dalam pada itu Norliza berkata melalui
LESTARIPendidikan, PTPTN bukan sahaja memenuhi tanggungjawab sosialnya tetapi juga memainkan peranan penting dalam membentuk modal insan negara.

Beliau berkata pendidikan tinggi adalah pemangkin pembangunan masyarakat yang progresif dan kelestarian dana
pendidikan adalah kunci kepada kejayaan ini

“Mesej utama kempen ini adalah untuk memperkasakan rakyat melalui pendidikan tinggi di samping membantu peminjam menyelesaikan tanggungjawab membayar hutang PTPTN dengan lebih berkesan. Pendidikan tinggi ialah landasan untuk meningkatkan taraf hidup yang hanya dapat direalisasi jika dana pendidikan kekal mampan

“Setiap pembayaran balik adalah pelaburan kepada masa depan pendidikan generasi akan datang,” katanya.

Mengulas lanjut, Norliza berkata dengan dana yang diterima melalui bayaran balik, PTPTN dapat terus menyokong 450,000 peminjam sedia ada dan 150,000 peminjam baharu setiap tahun.

Katanya, ini terutama dari kalangan keluarga berpendapatan rendah.

“Ini melibatkan jumlah yang besar iaitu lebih RM3 bilion setahun,” tambah beliau,” katanya.

Sementara itu, Norliza memaklumkan hingga September 2024, tunggakan pinjaman PTPTN adalah berjumlah
RM11.32 bilion melibatkan lebih 1.25 juta peminjam culas.

Tegasnya, PTPTN telah mengambil pelbagai langkah termasuk penghantaran surat peringatan, notis tuntutan rasmi dan memperkenalkan pelbagai mekanisme seperti pelan pembayaran fleksibel iaitu
penstrukturan semula bayaran balik pinjaman.

Menurut Norliza, Kempen LESTARIPendidikan merangkumi inisiatif yang dirangka untuk meringankan beban peminjam iaitu #PTPTNBolehBincang.

Jelasnya, peminjam boleh berbincang atau berunding untuk pelan pembayaran fleksibel iaitu penstrukturan semula bayaran balik pinjaman mengikut kemampuan kewangan mereka.

“Melalui kempen ini, PTPTN juga melaksanakan pendekatan proaktif iaitu inisiatif #PTPTNSediaBantu bagi memudahkan peminjam berurusan dengan menyediakan pelbagai saluran bayaran balik yang lebih mudah, cepat dan selamat.

“Saluran tersebut disediakan untuk membantu dan memudahkan para peminjam yang mempunyai sebarang pertanyaan atau urusan berkaitan bayaran balik pinjaman,” jelas beliau lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas