Berita

Amaran hujan berterusan di tiga negeri hingga Ahad

GAMBAR hiasan.
- Diterbit 20 Disember 2024 3:50 PM MYT

JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan di Sarawak, Sabah dan Labuan hingga 22 Disember.

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan di Sarawak, amaran hujan berterusan tahap buruk melibatkan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah dan Bintulu manakala amaran hujan berterusan tahap waspada melibatkan Kapit (Song dan Kapit), Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi) serta Limbang.

Di Sabah pula, amaran hujan berterusan tahap waspada melibatkan Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan), Pantai Barat, Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat.

Selain itu, amaran sama turut dikeluarkan kepada Labuan.

Maklumat cuaca terkini boleh didapati melalui laman web rasmi MetMalaysia, aplikasi mobil myCuaca dan laman media sosial rasmi Jabatan.

Talian hotline MET Malaysia 1-300-22-1638 boleh dihubungi bagi sebarang pertanyaan lanjut. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas