Berita

DBKL sita penjaja sekitar Kampung Bharu

SEKITAR operasi tindakan sitaan dan pindah halangan peniaga/penjaja yang diadakan baru-baru ini.
- Diterbit 19 Disember 2024 8:00 PM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan Tindakan Sitaan dan Pindah Halangan Perniagaan/Penjaja di sekitar Jalan Raja Muda Musa dan Jalan Raja Alang.

DBKL memaklumkan tindakan tersebut diambil sebagai respons kepada aduan awam yang diterima dan untuk memastikan kawasan awam sentiasa teratur dan selamat.

“Hasil daripada tindakan yang dijalankan, DBKL menjalankan 22 kes sitaan dan pindah halangan menerusi peruntukan di bawah Seksyen 46(1)(d) Akta Jalan Parit Bangunan 1974 dan UUK 3(1) Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016.

“Antara barangan yang disita adalah kerusi/meja plastik, kanopi,tong gas, gerai besi beroda dan lain-lain peralatan yang diletakkan di pesiar kaki dan laluan awam,” katanya menerusi hantaran di laman rasmi Facebook hari ini.

Tambahnya barangan dan peralatan yang disita, dihantar ke Stor Sitaan DBKL Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras untuk dokumentasi dan tindakan selanjutnya.

Dalam pada itu, DBKL turut menegaskan bahawa semua peniaga dan penjaja mesti mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.

“Pihak DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa demi kesejahteraan warga kota, pengunjung dan pelancong.

“Sekiranya terdapat sebarang aduan, sila salurkan ke pautan tertera seperti berikut https://adukl.dbkl.gov.my/,” ujarnya.

Terdahulu tindakan sitaan tersebut dilaksanakan oleh DBKL menerusi Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan, Pejabat Cawangan Titiwangsa serta Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas