KURIKULUM Persekolahan 2027 bakal menjadikan fasih digital sebagai satu daripada tujuh kompetensi yang perlu dikuasai oleh murid.
Kementerian Pendidikan berkata murid fasih digital berkemampuan untuk mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran dalam menyelesaikan masalah serta mencipta sesuatu yang baharu dengan menggunakan konsep pemikiran komputasional.
“Melalui Kurikulum Persekolahan 2027 juga, pengetahuan komputer dan kemahiran Kecerdasan Buatan (AI) akan diteruskan dalam mata pelajaran baharu berkaitan dengan teknologi dan digital.
“Pembelajaran AI ini boleh dibahagikan kepada dua pendekatan iaitu belajar dengan AI dan belajar tentang AI,” katanya ketika menerusi jawapan bertulis di Dewan Negara semalam.
KPM berkata topik berkaitan AI dipetakan secara menyeluruh dalam mata pelajaran baharu bermula daripada peringkat asas di sekolah rendah, seterusnya peringkat pertengahan di menengah rendah dan peringkat lanjutan di menengah atas.
“KPM sedang membangunkan DELIMa 3.0 sebagai ekosistem pembelajaran digital yang komprehensif untuk menyokong pelbagai inisiatif KPM.
“Komponen Digital Learning Pathway dalam DELIMa 3.0 menyediakan modul kerangka kandungan dan bahan mengikut tahap dan keupayaan pengguna (guru dan murid) dengan menggunakan AI.
“Integrasi AI turut dioptimumkan untuk memberi cadangan pembelajaran mengikut pemetaan dan kecenderungan pengguna,” katanya.
Ujarnya, KPM yakin usaha yang dilakukan ini dapat menambah baik sistem pembelajaran yang berasaskan teknologi dan digital agar murid sekolah mahir dalam pengetahuan komputer dan kecerdasan buatan (AI).
Menurut KPM, pihaknya komited untuk memastikan murid mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam teknologi dan digital termasuklah AI.
“Sehubungan itu, murid mempelajari mengenai komputer dan pengetahuan AI dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (Semakan 2017) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah. Pengetahuan komputer dan kemahiran AI diterapkan melalui mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) di Tahap II bagi semua murid.
“Pada peringkat menengah rendah, murid boleh meneruskan pembelajaran melalui mata pelajaran RBT atau Asas Sains Komputer,” katanya.
KPM berkata murid boleh membuat pilihan untuk mempelajari mengenai pengetahuan dan kemahiran AI dalam mata pelajaran Sains Komputer atau Reka Cipta pada peringkat menengah atas.
“Menyedari kepentingan teknologi dan digital, KPM turut melaksanakan reformasi pendidikan yang bertujuan mempertingkatkan lagi usaha mencapai standard global yang termeterai dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang sedia ada.
“Pendidikan Digital merupakan satu daripada usaha Reformasi Pendidikan,” katanya. – WILAYAHKU