INSTITUT Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) menerima The BrandLaureate Brand of the Year Award 2024 bagi kategori Kecemerlangan Penyelidikan Perhutanan Tropika (Excellence in Tropical Forestry Research).
FRIM dalam kenyataan memberitahu pengiktirafan berprestij tersebut mengukuhkan sumbangan signifikan FRIM dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) perhutanan tropika termasuk inovasi saintifik dan memenuhi keperluan para pemegang
pelanggan serta mengukuhkan kedudukan FRIM sebagai peneraju global dalam bidang penyelidikan perhutanan tropika.
“FRIM telah dinobat sebagai Tapak Warisan Kebangsaan pada 2015 dan sedang dalam tahap akhir untuk mendapat pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. FRIM juga terus menunjukkan komitmennya dalam memelihara dan memajukan ekosistem tropika untuk generasi akan datang.
“Sejak 1926, FRIM telah menerajui pelbagai inisiatif yang mengintegrasikan penyelidikan dengan keperluan industri, seterusnya memacu inovasi dan pertumbuhan ekonomi mampan.
“Usaha-usaha ini selaras dengan matlamat alam sekitar negara serta agenda kelestarian global, menjadikan FRIM sebagai pemain utama dalam menangani cabaran alam sekitar,” ujar kenyataan itu.
Tema anugerah Your Brand, Your Award. Celebrating, Championing, Capitalising The Best of Your Brand! bertepatan dengan misi dan pencapaian FRIM.
“Pengiktirafan ini bukan sahaja meningkatkan reputasi global FRIM tetapi juga memperkukuhkan azamnya untuk terus menyumbang kepada pemuliharaan dan penggunaan mampan ekosistem hutan tropika,” katanya.
Terdahulu, Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr Ismail Parlan menerima anugerah tersebut daripada Tengku Datuk Dr Hishamuddin Zaizi Tengku Bendahara Azman Shah Al-Haj. – WILAYAHKU