DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan (JPPP), akan menjadi koordinator dan bekerjasama dengan jabatan dalaman yang berkaitan bagi melicinkan operasi bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri yang akan bermula pada 1 Mac 2025 nanti.
Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosioekonomi) DBKL, Ismadi Sakirin berkata, ia berikutan arahan baharu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa yang mahu DBKL menguruskan sendiri petak Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri.
“DBKL telah menyediakan 44 lokasi bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri serta menawarkan kira-kira 3,707 petak perniagaan yang diuruskan sendiri.
“Untuk waktu ini adalah kerja-kerja pengurusan permohonan lesen sahaja dan cabaran sebenar adalah ketika pembukaan bazar itu nanti di mana semua perkara perlu diteliti termasuklah soal kebersihan, sampah, lalu lintas, keselamatan dan sebagainya.
“Setiap jabatan ini termasuklah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar (JKAS); Jabatan Penguatkuasaan dan beberapa jabatan lain akan bekerjasama bagi memastikan operasi di semua bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri berjalan dengan baik,” katanya ketika ditemui Wilayahku selepas Majlis Menandatangani Nota Kerjasama Antara Datuk Bandar Kuala Lumpur Dan Bank Muamalat Malaysia Berhad di ibu negara pada Rabu.
Hadir sama Pengarah Perbankan Komersial Bank Muamalat Malaysia Berhad, Datuk Mohamed Nazir Nor Mohamed dan Pengarah Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan DBKL, Badrul Hisham Baharuddin.
Ismadi berkata setakat ini, pegawai dan kakitangan yang terlibat tidak berdepan sebarang masalah berikutan pemohonan lesen dibuat menerusi sistem portal yang disediakan secara atas talian.
“Ini merupakan peringkat awal, proses semakan untuk permohonan sedang dijalankan. Permohonan lesen Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri akan ditutup pada Jumaat (13 Disember).
“Keadaan juga masih terkawal kerana kita menggunakan sistem, maknanya tiada mana-mana pihak yang menjadi orang tengah untuk urusan lesen dan daripada peringkat permohonan sehingga bayaran lesen akan dibuat secara atas talian.
“Bahkan untuk cabutan undi dalam menentukan tapak juga akan dibuat secara atas talian bagi memudahkan pengurusan pihak jabatan yang terlibat,” katanya.
Terdahulu, Ismadi menyaksikan Badrul Hisham mewakili DBKL memeterai Nota Kerjasama dengan Pemangku Pengarah Perbankan Runcit Bank Muamalat Malaysia Berhad, Mohammad Zalman Jalil yang mewakili syarikat perbankan itu.
Ismadi berkata penglibatan bersama dengan pihak berkepentingan seperti Bank Muamalat amat penting dalam merancang pembangunan dan mengurus perbandaran yang berkesan di Kuala Lumpur.
“Ia selaras dengan prinsip yang telah diterapkan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur pada ketika ini melalui pendekatan amalan 4P (Public, Private, People dan Partnership) demi mencapai matlamat Kuala Lumpur Bandaraya Untuk Semua (City For All).
“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Bank Muamalat Malaysia Berhad di atas kesudian untuk berkerjasama dengan DBKL,” katanya.
Beliau berkata pihak Bank Muamalat Malaysia Berhad bersetuju untuk menaja kanopi kepada semua penjaja.
“Selain daripada kanopi, Bank Muamalat akan turut menawarkan pelbagai lagi inisiatif yang menarik seperti pemberian apron, topi dan kotak pembesar suara dengan kod QR apabila peniaga membuka akaun Bank Muamalat.
“Inisiatif dengan pihak Bank Muamalat juga menarik supaya DBKL dapat membuat pengiraan hasil jualan peniaga dan penjaja kerana sebelum ini tidak pernah dibuat berikutan pihak DBKL hanya menguruskan lesen perniagaan sahaja,” katanya.
Melalui kerjasama ini, pelbagai inisiatif menarik akan diperkenalkan oleh Bank Muamalat, antaranya Go Cashless dengan QR Pay di mana Bank Muamalat akan memperkenalkan inisiatif ‘Go Cashless’ yang membolehkan pengunjung melakukan transaksi tanpa tunai melalui QR Pay serta menggalakkan penggunaan ekosistem pembayaran digital.
Sebagai tanda sokongan Bank Muamalat kepada para peniaga bazar Ramadan, peniaga akan menerima khemah percuma bersaiz 8 inci x 8 inci. Sekiranya peniaga membuka akaun dengan Bank Muamalat, mereka akan menerima apron, topi dan kotak pembesar suara dengan kod QR. Bank Muamalat juga akan membuka kaunter khas di lima lokasi utama iaitu Lorong TAR, Wangsa Maju, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kampung Baru dan Taman Tasik Permaisuri bagi memudahkan urusan peniaga dan pengunjung. – WILAYAHKU