DAKWAAN mengatakan pentadbiran Kerajaan MADANI lebih mengutamakan orang luar dalam pemilikan kediaman dilihat berleluasa sejak kebelakangan ini.
Ia antara lain mengaitkan pelabur dari China di Pulau Pinang yang didakwa diutamakan dalam isu tersebut berbanding rakyat tempatan yang tidak mampu memiliki rumah.
Dakwaan tersebut nyata bersifat fitnah kerana kerajaan tidak pernah mengabaikan rakyat tempatan memiliki kediaman mampu milik.
Menyedari pentingnya menyediakan rumah mampu milik untuk rakyat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir menyaksikan pemeteraian Perjanjian Pembangunan Bersama Rumah Mampu Milik Bakat Baru MADANI Pulau Pinang.
Ia membabitkan pembinaan hampir 38,000 unit kediaman dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM13 bilion, baru-baru ini.
Menerusi inisiatif yang disifatkan sebagai nilai pembangunan terbesar bagi rumah mampu milik dalam sejarah negara, projek usaha sama antara Penang Development Corporation (PDC), PDC Properties (PDCP) dan SkyWorld Development Berhad (SkyWorld) itu menawarkan harga rumah antara RM300,000 hingga RM420,000.
Ia menyasarkan pemilikan rumah bagi golongan B40 dan M40.
Projek yang akan dibina di Batu Kawan dan Seberang Jaya itu akan dilengkapi pelbagai kemudahan seperti kolam renang, gimnasium, dewan serbaguna dan taman permainan.
Yang turut hadir menyaksikan pemeteraian perjanjian itu ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Ini selaras hasrat kerajaan memastikan golongan itu mampu memiliki rumah dengan bayaran bulanan berpatutan di samping meningkatkan kualiti hidup rakyat.
“Perumahan rakyat ini yang penting keselesaan dan kualiti.
“Kalau (perumahan) orang kaya ada kolam bermutu tinggi. sekurang-kurangnya untuk rakyat (di rumah mampu milik) ada kolam yang boleh dimanfaatkan. Sekurang-kurangnya kalau (perumahan) orang kaya ada padang golf, rakyat ada padang permainan,” kata Perdana Menteri.
Apa lagi fitnah yang mahu disebarkan?
Keprihatinan Kerajaan MADANI memenuhi kehendak rakyat adalah antara usaha yang seharusnya kita puji terutama dalam aspek penyediaan kediaman mampu milik. – WILAYAHKU