Berita

Kerajaan tidak akan mansuhkan Akta Rahsia Rasmi 1972

- Diterbit 13 Disember 2024 11:58 AM MYT

KERAJAAN Persekutuan tidak akan memansuhkan Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) meskipun Akta Kebebasan Maklumat digubal sebagai akta baharu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata Akta 88 ini akan dipinda selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) Bil 1 Tahun 2023 yang diadakan pada 14 September 2023.

“Dalam hal ini, pindaan kepada Akta 88 ini sedang dilaksanakan oleh Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO), Jabatan Perdana Menteri manakala penggubalan Akta Kebebasan Maklumat sedang dilaksanakan oleh Bahagian Hal Ehwal UndangUndang, Jabatan Perdana Menteri,” katanya ketika menjawap soalan yang dikemukakan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) pada sesi jawapan lisan di parlimen semalam.

Zaliha berkata Pindaan Akta 88 ini adalah untuk diharmonikan selaras dengan penggubalan Akta Kebebasan Maklumat.

“Akta 88 ini tidak wajar dimansuhkan memandangkan Akta ini berperanan untuk menetapkan tatacara pengurusan dan perlindungan kepada rahsia rasmi Kerajaan serta menetapkan hukuman atau penalti kepada mana-mana orang yang disyaki membocorkan rahsia rasmi Kerajaan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas