SEHINGGA Oktober 2024, kadar penerimagunaan 5G oleh pengguna adalah sehingga 51.5 peratus, yang bersamaan dengan 17.5 juta jumlah langganan 5G.
Timbalan Menteri Digital, Datuk William Uggak Kumbong berkata peningkatan ini merupakan peningkatan purata sebanyak 18 peratus bagi setiap bulan iaitu daripada hanya sebanyak 3.1 peratus penerimagunaan pada Mac 2023.
“Sehingga November 2024, pelaksanaan rangkaian 5G oleh Digital Nasional Berhad (DNB) di seluruh negara telah mencecah kepada 82.3 peratus di kawasan berpenduduk.
“Penyediaan rangkaian 5G ini tidak hanya tertumpu di kawasan berkepadatan tinggi dan bandar sahaja, memandangkan kira-kira 54 peratus atau 3,933 daripada keseluruhan 7,320 tapak 5G yang telah
dibangunkan pada ketika ini meliputi kawasan separa bandar dan luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawap soalan Senator Micheal Mujah Lihan pada sesi jawapan lisan di Dewan Negara hari ini.
Menjelas lanjut, William berkata bagi negeri Sarawak , liputan rangkaian telah mencapai sebanyak 63.8 peratus iaitu melalui 559 tapak 5G yang telah berjaya disiapkan dalam masa kira-kira dua tahun.
“Selaras dengan pelan perniagaan yang telah diluluskan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) iaitu sebanyak 7,509 tapak secara keseluruhannya, DNB akan terus merancang untuk menyiapkan lagi baki tapak sebanyak 189 bagi mencapai sasaran penuh seperti yang telah ditetapkan menjelang penghujung tahun ini,” katanya
Jelas William, selain memastikan ketersediaan rangkaian 5G di Malaysia, DNB sebagai agensi pelaksana rangkaian 5G turut menjalankan pelbagai program untuk meningkatkan kesedaran dan penerimagunaan solusi 5G.
“DNB turut mengadakan beberapa aktiviti “outreach” untuk mempromosikan penggunaan 5G di luar bandar, seperti yang telah dijalankan di Kapit, Belaga dan Hulu Rajang.
“Menerusi pelaksanaan aktiviti ini, kita berharap akan terdapat peningkatan langganan dan kesedaran mengenai 5G di kalangan penduduk setempat. Kita juga akan terus memberikan perkhidmatan 5G supaya penduduk di kawasan pedalaman tidak ketinggalan contohnya seperti yang telah dilaksanakan di Klinik Kesihatan di Pekan Belaga,” katanya. – WILAYAHKU