Berita

MARA laksanakan mekanisme pemantauan harian, mingguan dan bulanan bekalan makanan MRSM

- Diterbit 11 Disember 2024 10:37 AM MYT

MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) melaksanakan mekanisme pemantauan secara harian, mingguan dan bulanan bagi memastikan kualiti bekalan bermasak Islam kepada semua pelajar-pelajar di 56 buah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) seluruh negara.

Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata sehingga 31 Ogos 2024, MARA telah melantik syarikat-syarikat Bumiputera sebagai kontraktor Perkhidmatan pembekalan makanan bermasak Islam yang berdaftar dengan Kementerian Kewangan melalui tender terbuka. Pelantikan kontraktor ini bagi tempoh dua tahun.

“Pemantauan berkenaan dilaksanakan secara kerap di peringkat MRSM dan juga pengawal program di peringkat MARA. Kesemua aspek bagi pelaksanaan bekalan perkhidmantan ini adalah telah dinyatakan
dengan jelas dalam dokumen kontrak dan perjanjian yang ditandatangani oleh kedua-dua pihak.

“Senarai jenama bahan dan menu harian juga telah dinyatakan secara jelas di dalam dokumen kontrak,” katanya dalam sesi jawapan bertulis di parlimen semalam.

Katanya, menu harian juga telah mendapat kelulusan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari aspek kandungan berat dan kalori yang ditetapkan untuk pelajar MRSM.

“Dari aspek pengawalan dan pemantauan, MARA juga telah melaksanakan jawatankuasa khas iaitu Jawatankuasa Pelawat Asrama yang diketuai oleh Pengarah MARA Negeri berserta beberapa ahli jawatankuasa lain.

“Lawatan secara berjadual dengan kekerapan empat kali setahun ke MRSM dan termasuk pemeriksanaan di asrama, surau dan dewan selera.

“Pemantauan berkala daripada Bahagian Perolehan Aset (BAP) dan Bahagian Pendidikan Menengah (BPM) juga turut dilakukan,” katanya.

KKDW berkata, pihak MARA juga sentiasa bekerjasama dengan pihak Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia serta Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) untuk tujuan pemantauan Bersama.

“Semakan dan garis panduan telah disediakan melalui borang penilaian prestasi Amalan Program Keselamatan Makanan (ProKEM) yang dikeluarkan oleh KKM.

“Syarikat juga akan dikeluarkan surat peringatan dan pemotongan apabila berlaku pelanggaran syarat kontrak,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas