SEMPENA 30 tahun dalam industri pada 1 April 2025, Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sedang merancang untuk menganjurkan konsert tradisional terbesar.
Menurut pelantun lagu Sejarah itu, konsert tersebut adalah salah satu impiannya sejak dahulu lagi.
“Impian saya sudah banyak yang tercapai, tapi masih ada lagi impian-impian lain.
“Contoh antara impian saya akan datang memang konsert tradisional terbesar, itu memang antara impian saya.
“Tahun depan 1 April, genap 30 tahun dalam industri. Bermula tarikh itu adalah masa yang sangat baik untuk meraikan 30 tahun dalam industri dengan konsert besar.
“Saya tak boleh bagi tahu bila perancangan saya untuk adakan konsert tradisional itu sebab segalanya masih dalam perancangan, masih berjalan kita punya perjumpaan dan sebagainya.
“Bila dah confirm tarikh dan lokasi barulah saya boleh kongsikan bersama rakan-rakan media, perancangan menjadikannya itu ada,” jelas Siti.
Tidak hanya konsert tradisional, Siti yang juga penyanyi nombor satu negara itu turut menyatakan hasratnya untuk sekali lagi mengadakan konsert di Royal Albert Hall,London buat kali kedua.
Jelas penyanyi nombor satu negara itu, segala perancangan konsert di kota London itu masih diperingkat perbincangan.
Sekadar info, Siti Nurhaliza pernah mengadakan konsert solonya di Royal Albert Hall, London pada 1 April 2005. – WILAYAHKU