KEJADIAN banjir besar yang melanda beberapa negeri baru-baru ini mempunyai hikmah yang tersendiri. Antara yang boleh direnungkan bersama adalah semangat perpaduan yang lahir dalam kalangan masyarakat, di sebalik ujian banjir besar yang melanda.
Perpaduan itu menjadi titik persamaan yang wajib dipegang dengan penuh tanggungjawab secara bersama tanpa mengira rupa, bangsa, perbezaan agama mahupun fahaman politik.
Selain itu, sesiapa sahaja perlu sentiasa berfikir positif dan melatih diri untuk tidak menimbulkan provokasi di atas ujian banjir besar yang melanda.
Jadi medan ujian
PEPATAH berat sama dipikul, ringan sama dijinjing menggambarkan perasaan yang dirasai oleh ramai selebriti apabila banjir besar melanda beberapa buah negeri buat masa ini.
Misalnya Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menghantar bantuan banjir ke Kedah menerusi Yayasan Nurjiwa yang diasaskannya bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.
Begitu juga dengan pempengaruh atau selebriti media sosial Khairul Aming, Syazli dan ramai lagi.
Bagi penyanyi popular Datin Alyah, peranan selebriti bukan sahaja sekadar menghibur, malah lebih daripada itu.
“Jika ada yang lihat selebriti peranannya hanya untuk menghiburkan sahaja, pandangan itu silap. Sekarang ramai selebriti peka dan sudi membantu mangsa banjir melalui cara masing-masing.
“Kalau ada yang terikat dengan kerja atau komitmen yang telah dipersetujui awal, mungkin agak sukar untuk mereka turun padang, namun mereka membantu dari segi menghantar tim ke kawasan banjir atau memberikan sumbangan.
“Apa yang penting adalah niat dan hasrat untuk membantu mangsa banjir tercapai. Masing-masing punya cara,” katanya.
Bagi Alyah, antara hikmah apabila berlakunya banjir besar, sedikit sebanyak menjadikan kita sentiasa peka dan cakna dengan masyarakat sekeliling.
“Sebagai manusia, kita perlu ada empati dan semua ini berbalik kepada lumrah hidup. Hari ini mereka diuji, hari lain mungkin kita pula diuji. Hidup memang tak terlepas dari ujian.
“Saya sebak setiap kali tengok mangsa-mangsa banjir dalam media sosial. Kuatnya mereka, saya belum tentu kuat kalau berada di tempat mereka.
“Paling melihat orang tua dan bayi yang menjadi mangsa. Mujurlah ada pihak berkuasa dan pihak-pihak lain yang datang membantu dalam pelbagai cara.
“Pendek kata, banjir ini menguji ikatan persaudaraan kita dan sejauh mana tentang kepedulian kita kepada golongan yang memerlukan,” tambahnya lagi.
Beri manfaat kepada rakyat
AKTRES jelita, Rozita Che Wan akui isu banjir mempunyai hikmahnya tersendiri. Baginya, setiap orang mungkin hanya melihat ujian banjir dari sudut pandangan masing-masing namun sebenarnya ia tersembunyi hikmah yang sangat bernilai.
Menurut isteri kepada pelakon Zain Saidin ini, apa yang berlaku telah mewujudkan semangat perpaduan tanpa mengira kaum atau agama.
“Apabila banjir, sudah tentu kita mempunyai satu matlamat iaitu untuk menyelamatkan nyawa sesama manusia dan harta benda.
“Maka, situasi beginilah yang dapat menyuburkan konsep perpaduan rakyat. Dalam masa yang sama, timbulnya rasa kasih sayang dan penghargaan kepada kerajaan dan mana-mana pihak yang hadir untuk membantu.
“Apabila wujudnya perpaduan di sebalik banjir besar itu, segala bentuk bantuan semasa banjir atau pasca banjir, memberi manfaat kepada rakyat. Sudah tentu ini dapat menguatkan lagi ikatan perpaduan sesama kita,” katanya.
Ujarnya janganlah ada pihak yang sengaja mencetuskan provokasi ketika semangat perpaduan itu sedang kembali dibentuk.
“Pertikaian atau rasa tidak puas hati dalam situasi banjir besar ini sebenarnya memburukkan lagi keadaan.
“Biasalah dalam menyampaikan bantuan, pasti ada kurang atau lebihnya. Iyalah, dalam situasi banjir besar, kadang-kadang terdapat perkara atau isu yang tidak dapat dielakkan atau datang tanpa diduga.
“Dalam keadaan sesetengah masyarakat yang panik, kelam kabut atau emosi kurang stabil, bertenanglah. Janganlah diungkit kekurangan yang ada kerana pihak yang memberi bantuan pasti sudah cuba yang terbaik.
“Kepada yang suka timbulkan provokasi, abaikan sahaja mereka yang mahukan publisiti murahan. Apa yang anda dapat apabila menghasut dan timbulkan kebencian? Bukanlah tidak boleh komen, tetapi biarlah positif agar kita dapat perbaiki kekurangan yang ada,” ujarnya.
Elak hakimi orang lain atas ujian melanda
BAGI pelakon Zoey Rahman pula, persepsi dan tanggapan masyarakat apabila melihat ujian banjir besar perlulah positif.
“Apabila berlaku banjir besar, sama-samalah kita bersatu dan saling bekerjasama dalam mengharungi ujian ini. Kaya, miskin, berpangkat atau tidak, semua lalui ujian ini.
“Elakkan menghakimi orang lain atas ujian yang sedang dihadapi. Tak guna nak salahkan pihak sana sini, apa faedahnya. Kita perlu fikirkan cara menangani dan bagaimana menyelesaikan cabaran itu.
“Daripada salahkan orang lain, lebih baik hulurkan bantuan dan tunjukkan rasa simpati kepada mangsa bencana. Maksud saya, setiap orang mempunyai peranan masing-masing. Boleh turun padang bantu mangsa banjir, beri sumbangan, berdoa dan sebagainya,” ujarnya.
Tambahnya, waktu ini ramai yang berkongsi tentang banjir dalam media sosial bagi menggalakkan orang ramai memberi sumbangan atau mengajak untuk mendoakan segala urusan banjir dipermudahkan.
“Mangsa-mangsa banjir juga harus beringat bahawa ujian banjir ini adalah untuk melatih sabar dan Allah hendak meninggikan darjat mereka. Bukan itu sahaja, ujian yang dihadapi juga merupakan sebagai penghapus dosa manusia,” katanya. – WILAYAHKU