Berita

Bot ekspres kembali beroperasi

PELAKSANAAN semula perkhidmatan bot ekspres ke Kota Kinabalu akan merancakkan semula sektor pelancongan Labuan.
- Diterbit 3 Disember 2024 4:45 PM MYT

PENGOPERASIAN semula perkhidmatan Bot Ekspress Labuan–Kota Kinabalu (Sabah) yang dijangka dilaksanakan pada hujung tahun ini bakal menjadi satu usaha sebagai pemacu ekonomi dalam pelbagai sektor perniagaan tempatan di pulau itu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Labuan Holding (LDA) Sdn Bhd, Noor Halim Zaini, tujuan pengoperasian perkhidmatan air itu adalah untuk memenuhi keperluan dan permintaan penduduk Labuan.

“Pihak kami sering menerima pertanyaan orang ramai mengenai pengoperasian semula bot ekspres Labuan ke Kota Kinabalu dan kami sebagai pengendali terminal ini hanya akan memulakan operasi itu jika pihak pengendali bot tersebut bersetuju sahaja.

“Baru-baru ini kami telah mengadakan beberapa perbincangan untuk mengetengahkan cadangan pengoperasian semula pengangkutan itu dan ia masih belum ada sebarang keputusan dibuat.

“Jika semua urusan yang berkaitan telah selesai, kita menjangkakan perkhidmatan bot ekspres ini akan dilaksanakan selewat-lewatnya Disember depan. Kita juga menjangka dengan adanya perkhidmatan ini, Labuan bakal menerima sekitar 100 orang pengunjung masuk dan keluar dalam tempoh sehari.

“Sebelum COVID-19, kita berjaya menarik lebih 100,000 pengunjung ke Labuan untuk tempoh setahun dan angka itu hanya untuk penumpang perkhidmatan bot melalui perjalanan laut Labuan–Kota Kinabalu sahaja. Oleh itu, kita mahu Labuan dihidupkan semula melalui perkhidmatan pengangkutan air ini untuk memacu semula ekonomi seperti dalam sektor perhotelan, kedai makanan, peniaga-peniaga kecil mahupun pelancongan,” katanya semasa ditemui Wilayahku baru-baru ini.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon Labuan, S. Roslee Matusin menyatakan pihaknya menyambut baik cadangan pihak Labuan Holding Sdn Bhd untuk melaksanakan  pengoperasian semula pengangkutan Feri Ekspress Labuan–Kota Kinabalu (Sabah) yang lebih tiga tahun tidak beroperasi.

Beliau berkata, alternatif pengangkutan air ke Tanah Besar Sabah itu merupakan satu keperluan yang mendesak kepada penduduk pulau ini untuk melakukan pelbagai urusan termasuklah mendapatkan rawatan kesihatan, urusan rasmi dan sebagainya memandangkan mereka hanya mengharapkan pengangkutan feri ro-ro, bot laju Labuan–Menumbok dan kapal terbang sahaja.

Bagaimanapun, Roslee turut meminta kepada pihak LDA untuk menyelaras kadar tambang yang lebih berpatutan agar tidak membebani penumpang. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas