KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan memaklumkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah melaksanakan 2,031 operasi penguatkuasaan terhadap premis perniagaan yang melibatkan warga asing sejak tahun 2022 sehingga kini.
Timbalan Menterinya, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata pihaknya juga telah membatalkan 26,108 lesen peniaga atas sebab pelanggaran syarat-syarat lesen premis yang ditetapkan oleh PBT termasuk memindah milik lesen/ permit mereka kepada warga asing.
“Di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Penjaja, PBT tidak mengiktiraf dan membenarkan warga asing sebagai penjaja/peniaga kecil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawap soalan Senator Datuk Salahuddin Saidin ketika jawapan menteri di Dewan Negara hari ini.
Tambah Aiman Athirah, PBT juga tidak membenarkan penggunaan warga asing sebagai pekerja/ pembantu di bawah lesen penjaja di premis PBT berikutan kadar sewaan yang ditetapkan oleh PBT adalah di bawah harga pasaran dan bertujuan memberikan peluang perniagaan kepada rakyat tempatan.
“Di bawah UUK Tred, Perniagaan dan Perindustrian pula, pengeluaran lesen perniagaan hanyalah untuk warganegara Malaysia sahaja, dan membenarkan warga asing diambil bekerja sebagai pekerja/ pembantu dengan syarat memiliki pas kerja/ permit dagang yang sah,” katanya.
Menurut Aiman Athirah, PBT tidak akan berkompromi dengan sebarang pelanggaran syarat-syarat lesen yang telah dikeluarkan oleh mana-mana perniagaan dan pemegang lesen, melalui tindakan tegas seperti sitaan, kompaun, penutupan premis dan pembatalan lesen.
“PBT juga komited melaksanakan operasi pemantauan serta penguatkuasaan seperti berikut memantau secara berkala premis-premis perniagaan dan penjaja di kawasan PBT terutama yang menjadi tumpuan warga asing termasuklah membuat sitaan dan rampasan barangan penjaja warga asing.
“Selain itu PBT juga membatalkan lesen kepada pemegang lesen yang didapati memindah milik lesen/ permit mereka kepada warga asing; dan menjalankan operasi bersepadu bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandangkan sebarang tindakan penahanan warga asing atau Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) adalah di bawah bidang kuasa dan pengurusan jabatan tersebut,” katanya.
Aiman Athirah berkata kementeriannya juga ingin menegaskan bahawa PBT tidak pernah membenarkan mana-mana warga asing untuk memohon atau memiliki lesen penjaja, peniaga kecil, premis perniagaan, kedai runcit, kedai makan, bengkel kereta dan di pasar-pasar, selaras dengan Undang-Undang Kecil (UUK) Penjaja dan UUK Tred, Perniagaan dan Perindustrian.
“Kerajaan Negeri turut memainkan peranan dengan memperketatkan syarat permohonan baharu dan pembaharuan lesen perniagaan PBT di negeri masing-masing bagi mengekang operasi perniagaan oleh warga asing.,” katanya. – WILAYAHKU