SEMUA calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di kawasan terjejas banjir telah dipindahkan ke asrama, semalam, dan diberikan kemudahan terbaik termasuk buku, internet dan komputer.
Demikian ditegaskan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menjawab mengenai sikap sesetengah pihak yang cuba memainkan sentimen perkauman dalam isu calon peperiksaan itu.
Malah katanya, Kementerian Pendidikan (KPM) dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah berusaha memastikan tiada calon tercicir untuk menduduki Ujian Lisan SPM pada hari ini.
“Kerajaan MADANI melakukan sedaya upaya dengan mekanisme yang ada untuk mengurangkan impak banjir terhadap 1.3 peratus calon SPM (5,377 orang) di kawasan terjejas agar mereka dapat menduduki peperiksaan SPM bersama 98.7 peratus (402,956 orang) calon SPM di seluruh Malaysia.
“Keputusan yang sukar ini terpaksa dibuat setelah mengambil kira kesan dan impak rantaian yang bakal tercetus jika peperiksaan SPM ditangguhkan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Fadhlina berkata, pihaknya cukup faham dengan sentimen massa yang empati dengan calon SPM yang terjejas, namun harus diingatkan juga kepada sesetengah pihak yang cuba memainkan sentimen perkauman bahawa ini bukannya masa untuk menangguk di air keruh.
“Saya mendoakan agar anak-anak kita yang diuji ini diberi ketabahan, kesabaran dan kecerdasan dalam menghadapi peperiksaan serta dipermudahkan dalam menjawab setiap soalan dengan lancar.
“Pada detik genting ini, marilah kita mengharungi ujian ini bersama. Kepada calon-calon SPM di kawasan terjejas, satu Malaysia mendoakan anda. Anda tidak keseorangan, kita sentiasa ada bersama anda.
“Mustahil kita mengharungi detik-detik yang sukar ini tanpa bantuan agensi seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), bomba, Rela dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), juga badan bukan kerajaan (NGO) dan individu-individu yang berprihatin. Terima kasih semua. Kita kuat apabila bersama,” katanya. – WILAYAHKU