Lensa

Memperingati korban WW2

- Diterbit 2 Disember 2024 4:37 PM MYT

Oleh MUQTADIR HALIM

REMEMBRANCE Day atau Hari Peringatan Perang disambut pada 11 November atau pada minggu kedua bulan November setiap tahun bertempat di World War II Memorial Park Labuan (Taman Peringatan Perang)‚ Jalan Tanjung Batu‚ Wilayah Persekutuan Labuan.

Upacara yang diadakan ini adalah bagi memperingati seramai 3‚908 anggota tentera negara-negara Komanwel yang terkorban semasa Perang Dunia Kedua (WW2) ketika menentang tentera Jepun di sekitar Borneo. Upacara ini juga turut diiringi dengan bacaan doa di tiga kawasan berasingan mengikut agama tentera yang disemadikan iaitu tentera Islam‚ Kristian dan Hindu atau Sikh.

Hari Peringatan Perang ini juga dilengkapi dengan upacara ketenteraan iaitu tatacara pertukaran Virgil Guard dan Last Post‚ Two Minutes Silence dan Reveille. Upacara kemuncak bagi majlis ini adalah peletakan kalungan bunga oleh para tetamu kehormat dan diplomat luar dan dalam negara yang hadir.

Majlis ini dihadiri Pesuruhjaya Tinggi atau wakil Pesuruhjaya Tinggi khasnya dari Negara-Negara Komanwel berserta keluarga perajurit-perajurit yang turut sama hadir. Acara ini dihadiri oleh wakil Pesuruhjaya Tinggi Autralian (Australia High Commissioner) serta ahli keluarga dari negara Australia‚ British‚ Nepal‚  Amerika Syarikat‚ New Zealand dan India.

Upacara dimulakan dengan pergerakan masuk pasukan pancaragam PDRM yang mengiringi Virgil Guard / Guard of Honour melibatkan pasukan keselamatan seperti TUDM‚ TDM‚ TLDM dan PDRM.

Remembrance Day bukan sahaja sebagai platform memperingati pejuang-pejuang yang telah gugur tetapi objektifnya untuk kita sama-sama menghargai sebuah kedamaian dan menghentikan peperangan.

LENSA:

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas