“SEBAGAI Pengerusi ASEAN pada tahun 2025, Malaysia dilihat mampu meraih beberapa kelebihan antaranya dari segi keterlihatan antarabangsa dapat dipertingkatkan, mengukuhkan hubungan diplomatik serta peluang ekonomi,” kata Profesor Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia, Profesor Dr Abdul Rahim Abdul Samad.
Beliau berkata dari segi keterlihatan antarabangsa, jawatan pengerusi menyediakan platform kepada Malaysia untuk mempamerkan kepimpinan, potensi ekonomi dan kepelbagaian budayanya di pentas global.
“Bagi hubungan diplomatik, ia membolehkan Malaysia mengukuhkan hubungan dua hala dengan negara anggota ASEAN lain dan rakan dialog utama serta memupuk kerjasama dan persefahaman.
“Selain itu, peluang ekonomi pula menyaksikan mampu menarik pelaburan asing dan menggalakkan perdagangan serta memberi manfaat kepada ekonomi Malaysia sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan.
“Malaysia juga dilihat boleh membentuk agenda serantau dan mengutamakan isu penting kepada negara seperti pembangunan mampan, ekonomi digital dan keselamatan,” ujar beliau.
Tambah beliau, jawatan pengerusi juga membolehkan Malaysia memupuk perpaduan yang lebih erat dalam kalangan negara anggota ASEAN serta menggalakkan kerjasama dalam pelbagai isu.
“Malaysia boleh memacu inisiatif untuk memperkasakan integrasi ekonomi, seperti mengurangkan halangan perdagangan dan menggalakkan aliran pelaburan dalam rantau ini.
“Ia juga memberi peluang untuk menangani cabaran serantau yang mendesak seperti perubahan iklim, keganasan dan keselamatan maritim melalui tindakan kolektif,” ujar beliau.
Dalam masa sama, rakyat juga bakal mendapat limpahan ekonomi antaranya penciptaan pekerjaan terutamanya di kawasan luar bandar dan bandar yang menyumbang kepada pengurangan kadar pengangguran.
“Sektor PKS yang berkembang maju boleh merangsang pertumbuhan ekonomi dengan memacu inovasi, produktiviti dan eksport. Landskap perniagaan yang pelbagai boleh memupuk persaingan, membawa kepada harga yang lebih rendah, produk dan perkhidmatan yang lebih berkualiti dan pilihan pengguna yang lebih baik.
“Selain itu, ia dapat memperkasakan kumpulan terpinggir seperti wanita dan belia dengan menyediakan peluang untuk keusahawanan dan bekerja sendiri.
“Ia menyumbang kepada komuniti tempatan melalui inisiatif sosial seperti kerja amal dan projek pembangunan komuniti. Malah dapat mengurangkan pergantungan terhadap pelaburan asing sekali gus menjadikan ekonomi lebih berdaya tahan terhadap kejutan luaran,” ujarnya.
Tambah beliau, Malaysia boleh meningkatkan lagi potensi ekonomi ASEAN dengan mengurangkan halangan perdagangan dengan mendesak pengurangan tarif dan halangan bukan tarif selanjutnya serta memudahkan aliran perdagangan yang lebih lancar di rantau ini.
“Dalam masa sama, ia turut menggalakkan pelaburan langsung asing dan pelaburan dalam ASEAN yang dapat merangsang pertumbuhan ekonomi dan penciptaan pekerjaan.
“Dari segi mengharmonikan piawaian dan peraturan dengan mengguna pakai piawaian dan peraturan biasa di seluruh negara anggota boleh menyelaraskan operasi perniagaan dan mengurangkan kos,” ujar beliau.
“Bagi pembangunan infrastruktur pula, melabur dalam infrastruktur pengangkutan dan logistik dapat meningkatkan kesalinghubungan dalam rantau ini dan memudahkan perdagangan.
“Kesalinghubungan rakyat di rantau ASEAN dengan mempromosikan pertukaran budaya, pendidikan dan pelancongan memupuk persefahaman dan kerjasama dalam kalangan negara anggota ASEAN,” ujar beliau. – WILAYAHKU