Berita

Lapan negeri diramal alami hujan berterusan sehingga esok

GAMBAR hiasan.
- Diterbit 29 November 2024 2:30 PM MYT

JABATAN Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan sehingga esok di lapan negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang, Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Johor.

Ketua Pengarahnya, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, amaran hujan berterusan tahap bahaya melibatkan Kelantan khususnya di Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai, serta di Terengganu.

Menurut beliau, selain itu amaran hujan berterusan pada tahap buruk dijangka di Perak (Hulu Perak); Kelantan (Gua Musang) dan Pahang yang meliputi kawasan Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan serta Rompin.

“Dalam tempoh sama, hujan berterusan pada tahap waspada dijangka di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau memberitahu, amaran sama dijangka di Perak meliputi kawasan Kerian, Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta dan Kampar.

Katanya, di Pahang pula di Cameron Highlands, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh dan Bera.

Bagi kawasan di Johor, katanya, ia dijangka di Segamat, Mersing dan Kota Tinggi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas