Berita

Keindahan semula jadi, budaya masyarakat Kelabit antara tarikan Filem Tegkang

- Diterbit 28 November 2024 12:00 PM MYT

KEINDAHAN Bario di Sarawak serta paparan budaya masyarakat Kelabit, menjadi latar filem Tegkang, arahan Josh Nawan.

Tidak bertemakan cinta semata-mata, filem yang menemui penonton bermula 28 November itu turut menyajikan tema budaya sesebuah masyarakat.

Josh Nawan berkata, pemilihan Bario sebagai lokasi untuk filem berkenaan dibuat setelah melihat tarikan di kawasan berkenaan.

“Mungkin tidak ramai pernah datang ke Bario, sedangkan ia sebuah tempat yang menarik dengan keindahan semula jadi yang boleh menjadi tumpuan pelancong.

“Selain itu, komuniti di sana iaitu kaum kelabit juga sangat unik dengan budaya yang tersendiri. Jadi, Tegkang menjanjikan sebuah naskhah yang mempunyai tarikan tersendiri untuk ditonton,” ujarnya.

Selain Syafie Naswip dan Michelle Lungan sebagai pelakon utama, filem itu menampilkan pelakon dari kaum Kelabit serta 99 peratus penggambaran dilakukan di Bario.

Tegkang mengisahkan tentang hubungan antara seorang pelancong, Hanafi (Syafie) dengan seorang gadis tempatan iaitu Rinai (Michelle).

Namun begitu, kehadiran Hanafi ternyata telah mengubah kehidupan Rinai, yang akan mengakibatkan sebuah rahsia lama yang tersimpan akhirnya terbongkar.

Selain Syafie dan Michelle, Tegkang turut dibarisi pelakon tempatan seperti Hezekiah Asim, Pun Ratu Aran dan Lian Tarawe.

Pada masa sama, Josh yang juga selaku penulis skrip Tegkang menyatakan jalan cerita dalam filem berkenaan adalah inspirasi daripada kehidupannya sendiri.

“Skrip filem ini dihasilkan pada 2010 dan selepas 14 tahun, barulah ia dapat diterjemahkan kepada sebuah filem.

“Sebenarnya, Tegkang adalah inspirasi daripada kisah kehidupan saya sendiri yang membesar di rumah panjang. Kisahnya berkait rapat dengan datuk saudara saya,” jelasnya.

Sementara itu, Jason Chong selaku Penerbit Eksekutif pula mengakui pihak produksi berhadapan dengan pelbagai cabaran ketika menghasilkan filem Tegkang.

“Pada mula memang rasa susah sebab lokasinya yang agak jauh, perbezaan bahasa serta nak memahami budaya setempat itu sendiri.

“Apapun sebaik sahaja selesai dan menontonnya di skrin pawagam, kami rasa bangga dengan filem ini. Termasuk dengan semua barisan pelakon yang banyak memberikan kerjasama yang baik,” ujarnya.

Diterbitkan oleh syarikat MyContent Distribution Sdn. Bhd, filem Tegkang akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 28 November ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas