Berita

Munsyi Muda pemangkin bahasa

SEKITAR Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan dan Pentauliahan Munsyi Muda Bahasa
- Diterbit 19 November 2024 12:25 PM MYT

MENGUTAMAKAN bahasa kebangsaan adalah asas penting dalam memupuk perpaduan dan jati diri sesebuah negara. Ia bukan sahaja berperanan sebagai alat komunikasi tetapi juga sebagai simbol identiti dan kebanggaan nasional yang menyatukan rakyat pelbagai kaum dan budaya.

Dalam memperkasakannya, seramai 163 kakitangan awam daripada pelbagai kementerian dan agensi menerima watikah pelantikan dan ditauliahkan sebagai Munsyi Muda Bahasa bagi tahun 2023/2024 di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata dengan bertambahnya jumlah pegawai awam yang menjadi pemangkin penggunaan bahasa kebangsaan yang betul maka mutu penggunaan bahasa Melayu semakin diperkasakan di kementerian, jabatan dan agensi masing-masing.

“Penggunaan bahasa Melayu dalam dokumen rasmi kerajaan perlulah menepati ejaan dan tatabahasa yang standard,” ujarnya.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Mohd Shaiful Ibrahim yang turut merasmikan majlis tersebut baru-baru ini.

Salah seorang penerima watikah, Norfadhilah Ahmad Mawawi daripada Radio Televisyen Malaysia (RTM) merakamkan penghargaan kepada INTAN dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang menjadi penggerak bagi melahirkan perujuk bahasa Melayu.

“Diharapkan lebih ramai lagi ditauliahkan sebagai Munsyi Muda Bahasa pada masa akan datang sebagai usaha memperkasakan penggunaan bahasa Melayu dalam perkhidmatan awam,” ujarnya.

Sementara itu, peserta terbaik keseluruhan, Zulkifli Mohd Yunus dari Istana Negara berkata bahasa Melayu ialah bahasa yang sangat halus dan indah yang merupakan cerminan jiwa insan.

“Penggunaan gaya bahasa yang tepat dapat menyampaikan hasrat tersirat dengan lebih cermat. Perhatian terhadap kaedah penggunaan kata, frasa dan ayat yang betul berupaya mengangkat imej dan kredibiliti perkhidmatan awam,” ujarnya.

Terdahulu, Program Munsyi Muda Bahasa dimulakan sejak 2015 dengan kerjasama INTAN dan DBP yang menyaksikan penjawat awam mengikuti kursus bahasa Melayu serta perlu melepasi tahap penilaian kefahaman oleh DBP selain kursus pemantapan sebelum layak ditauliah. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas