PENYASARAN subsidi petrol RON95 yang ingin dilaksanakan kerajaan adalah bagi memastikan setiap ringgit dibelanjakan kepada rakyat akan menepati kehendak objektifnya.
Menurut Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, bantuan diberikan kepada rakyat harus diberikan kepada yang memerlukan agar mereka dapat menikmati kehidupan lebih baik.
“Ini juga dapat meningkatkan keupayaan dan taraf hidup mereka apabila bantuan diberikan. Mereka boleh berbelanja kepada perkara lain seperti pendidikan anak-anak dan sebagainya,” katanya.
Terdahulu, kerajaan bercadang melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun 2025.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penjimatan yang dicapai daripada penyasaran subsidi bahan api itu akan dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat terbanyak.
Kementerian Ekonomi sebelum ini memaklumkan, mekanisme penyasaran subsidi RON95 akan menggunakan sepenuhnya data Pangkalan Data Utama (PADU) manakala penentuan kumpulan sasar ditentukan berdasarkan pendapatan boleh guna bersih isi rumah.
Menurut kementerian itu, sistem PADU adalah repositori data individu dan isi rumah warganegara serta pemastautin tetap yang berada di Malaysia. Mengulas lanjut, Afzanizam berkata penyasaran subsidi RON95 juga akan membawa kepada penjimatan.
Beliau berkata ini disebabkan sebelum ini golongan mendapat banyak manfaat adalah mereka yang berpendapatan tinggi. “Ini disebabkan mereka ini menggunakan kenderaan yang berkuasa besar dan banyak menggunakan bahan api.
“ Selain itu, kegiatan penyeludupan juga begitu berleluasa berikutan perbezaan harga yang ketara dengan negara jiran dan mewujudkan insentif untuk mengaut keuntungan yang luar biasa,” katanya.
Sementara itu, Afzanizam berkata penggunaan bahan api oleh bukan warganegara juga berlaku dalam kalangan mereka yang datang bekerja di sini atau melancong.
Beliau berkata hal tersebut menyebabkan banyak ketirisan.
Katanya lagi, penjimatan boleh disalurkan untuk pendidikan, kesihatan, infrastruktur dan keselamatan.
“Empat perkara ini akan dapat membina sebuah negara baik di peringkat produktiviti kemahiran dan menarik minat pelabur asing ke dalam negara,” katanya. – WILAYAHKU