Berita

Kemuka butir matan palsu RM1.1 juta: SPRM tahan seorang lagi pengarah syarikat

- Diterbit 16 November 2024 2:50 AM MYT

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang lagi pengarah syarikat disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu.

Ia membabitkan permohonan kuota pekerja asing untuk kelulusan Kementerian Sumber Manusia yang bernilai kira-kira RM1.1 juta.

Perintah reman selama lima hari sehingga 18 November ini dikeluarkan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin selepas SPRM membuat permohonan tersebut di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor pagi tadi.

Menurut sumber, suspek wanita berusia sekitar 40-an itu ditahan kira-kira pukul 5 petang semalam ketika hadir bagi memberi keterangan di SPRM Selangor.

“Suspek dipercayai bersubahat melakukan perbuatan tersebut pada tahun lalu dengan mengemukakan dua permohonan kuota seramai 600 pekerja asing oleh syarikat berkenaan.

“Walau bagaimanapun pembekalan tenaga kerja bagi projek yang dikemukakan itu tidak wujud,” katanya.

Sumber memberitahu, dua permohonan itu melibatkan pembayaran levi kira-kira RM1.1 juta.

Sementara itu Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas