SESEBUAH organisasi berpotensi tempang dan hilang keberkatan sekiranya ketua atau pemimpin serta pekerja didapati tidak menunaikan kewajipan sebagai seorang Islam.
Menurut pendakwah bebas, Kamal Firdaus Ahmad, semua orang Islam sedia maklum bahawa kewajipan solat adalah tiang agama dan apabila pemimpin dan pekerja tidak melaksanakan solat, keberkatan dalam organisasi boleh terjejas.
“Ini boleh menyebabkan masalah dalam hubungan antara pekerja serta prestasi kerja yang merosot. Daripada Ibnu Umar RA, beliau berkata Nabi SAW bersabda:
“Solat pada waktunya, barangsiapa yang meninggalkan solat maka tiadalah agama baginya dan solat itu merupakan tiang agama”. [Riwayat al-Baihaqi (2550) di dalam al-Syu’ab].
“Selain itu, pemimpin yang culas dalam solat mungkin memberi contoh yang buruk kepada orang bawahan. Ini boleh menyebabkan mereka juga mengabaikan tanggungjawab agama yang seterusnya mengurangkan moral dan etika di tempat kerja,” katanya kepada Wilayahku pada Selasa.
Guru Kaunseling Sek Keb Kampung Jawa itu berkata solat membantu individu untuk berfikir dengan tenang dan menghilangkan tekanan.
Sekiranya mengabaikan kewajiban tersebut, seseorang itu berisiko merasa lebih tertekan dan kurang fokus sekali gus menjejaskan produktiviti mereka.
“Solat adalah cara untuk mendekatkan diri kepada Allah. Apabila anggota organisasi tidak menunaikan solat, mereka mungkin merasa jauh dari nilai-nilai spiritual yang sepatutnya menyatukan mereka. Meninggalkan solat boleh menjadikan suasana kerja tidak harmoni.
Menurut Kamal Firdaus, ketua dan pekerja yang sengaja mengabaikan tanggungjawab berkenaan boleh membawa kepada tindakan yang tidak beretika seperti penipuan atau penyalahgunaan kuasa serta boleh mencerminkan kurangnya komitmen terhadap nilai-nilai agama dan etika.
“Jika seseorang sengaja mengabaikan tanggungjawab, ia boleh mencetuskan konflik dan ketegangan antara pekerja seterusnya boleh merosakkan suasana kerja.
“Ini kerana mereka yang tidak menjaga solatnya kebiasaannya sukar untuk bersikap tenang dan waras dalam membuat keputusan berdasarkan nilai dan moral yang tinggi disebabkan hanya bergantung kepada nafsu semata-mata,” katanya.
Katanya solat berjemaah adalah salah satu cara Islam mempromosikan perpaduan yang menjadi kekuatan dalam sesebuah organisasi mahupun masyarakat.
“Seperti firman Allah SWT dalam Surah As-Saff, ayat 4: “Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh”.
“Pengabaian solat boleh menjejaskan perpaduan dan kerja berpasukan melalui berkurangnya peluang untuk ahli organisasi berkumpul dan berinteraksi dalam suasana spiritual; melemahnya ikatan persaudaraan Islam antara pekerja; menurunnya semangat kerjasama yang dibina melalui ibadah bersama; berkurangnya rasa kebersamaan dalam mencapai matlamat organisasi dan melunturkan semangat persaudaraan dan persefahaman dalam memacu kejayaan bersama dalam organisasi,” katanya.
Beliau menegaskan sekiranya ketua dan pekerja tidak melaksanakan tanggungjawab berkenaan terdapat implikasi dalam membuat keputusan dan keberkesanan kepimpinan.
“Pengabaian solat oleh pemimpin boleh mengakibatkan berkurangnya kebijaksanaan dalam membuat keputusan dan melemahkan hubungan dengan Allah yang boleh menjejaskan bimbingan spiritual dalam kepimpinan.
“Selain itu, antara implikasi lain adalah menurunnya integriti dan kebolehpercayaan pemimpin di mata orang bawahan, berkurangnya keberkatan dalam usaha kepimpinan dan berkurangnya rasa hormat dari orang bawahan kerana kesan pengabaian tanggungjawab terhadap agama yang ditunjukkan oleh pimpinan mereka,” katanya.
Beliau berkata pengabaian solat juga berisiko mempengaruhi tingkah laku moral dan etika pekerja kerana ia bukan sekadar ritual tetapi juga pembentuk akhlak.
“Nabi Muhammad SAW bersabda: “Solat adalah tiang agama. Barangsiapa yang mendirikannya, maka ia telah menegakkan agama. Dan barangsiapa yang meninggalkannya, maka ia telah meruntuhkan agama.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi)
“Pengabaian solat boleh mempengaruhi tingkah laku moral dan etika pekerja melalui meningkatnya kecenderungan untuk melakukan perbuatan yang bertentangan dengan nilai-nilai Islam serta kurang atau hilang rasa takut kepada Allah dalam tindakan harian.
“Selain itu, ia turut mampu melemahkan kawalan diri terhadap godaan untuk melakukan kesalahan dan menurunnya standard etika dalam interaksi dengan rakan sekerja dan pelanggan serta melemahkan keimanan dan jati diri dalam usaha menjaga amanah dan tanggungjawab yang tuntas,” – WILAYAHKU